Najib melenting digesa derma RM114 juta kepada Palestin, peniaga kecil

Datuk Seri Najib Razak dan UMNO akan menuntut hak wang bernilai RM114 juta.

Selepas menjadi jutawan segera sebaik menang kes wang sitaan RM114 juta, Datuk Seri Najib Razak yang digesa menderma kepada rakyat Palestin dan peniaga kecil, melenting dan tidak dapat menerima cadangan tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan gesaan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim supaya menderma wang tersebut untuk tujuan kebajikan dan juga membuat pusingan U dengan menafikan wang tersebut adalah miliknya sebaliknya milik UMNO.

“Jadi, kenapa suruh saya derma RM114 juta itu sedangkan ianya wang parti dan bukan wang saya?

“Wang yang saya terima pula, saya telah gunakan untuk kerja kebajikan,” kata Najib dalam akaun Facebooknya.

Kenyataan Najib itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap Hishammuddin yang membuat gesaan tersebut supaya wang itu sampai kepada golongan sasaran.

Najib juga menghalakan serangan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya menggunakan kekayaan keluarganya untuk menderma kepada Palestin dan peniaga kerja, bukan cadangan tersebut dilontarkan kepadanya sahaja.

“Kenapa PPBM (Bersatu) tak suruh bekas pengerusi mereka iaitu PM4/7 (Dr Mahathir) untuk guna kekayaan berbilion-bilion keluarga dia untuk derma kepada Palestin dan peniaga kerja?” katanya lagi.

Sementara itu, Najib juga menjelaskan walaupun kes berhubung wang sitaan RM114 juta tersebut sudah menang, namun wang tersebut belum dikembalikan dan sekiranya dikembalikan ia terpulang untuknya berbelanja wang tersebut sesuka hati.

“Sekarang kerajaan sudah kalah dalam mahkamah untuk saman sivil ini tapi masih belum kembalikannya. Siapa yang nak bayar gantirugi? Faedah ke atas dana untuk tiga tahun itu sudah berapa?

“Seperti dijelaskan dalam kes mahkamah, sekurang-kurangnya RM642 juta itu adalah sumbangan dari Arab Saudi termasuk dipindah dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi. Untuk saya guna sesuka hati termasuk untuk kegunaan saya jika saya mahu,” katanya lagi.

Terdahulu pada Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Katanya, pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Asisten Komisioner D Rajagopal gagal menunjukkan wang itu adalah harta curi, wang dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan.

POPULAR