Najib iring Rauf ke penamaan calon, tanda sokong calon Ketua Menteri

Datuk Seri Najib Razak akan mengiringi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin.

Langkah tersebut menandakan tanda sokongan yang jelas bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka tersebut bakal menjadi Ketua Menteri Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRN yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Daripada jadual yang diedarkan kepada pengamal media, Najib akan mengiringi Rauf dengan mula berkumpul di sebuah Villa di Masjid Tanah sebelum ke tempat penamaan calon.

Menurut sumber, BN sangat yakin Rauf mampu membawa kemenangan besar kepada mereka dalam PRN Melaka kali ini walaupun terpalit dengan dakwaan mengawal projek pasir di negeri tersebut.

Rauf juga dikatakan menjadi punca pergaduhan dengan sesama pemimpin UMNO Melaka iaitu bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka sehingga tumbangnya kerajaan negeri.

Lebih menguatkan lagi spekulasi Rauf akan dilantik menjadi KM lagi, beliau diletak bertanding di kubu kuat UMNO dan dijangka menang mudah kerana memiliki sokongan saudara maranya di Tanjung Bidara.

Kerusi DUN Tanjung Bidara sebelum ini dimenangi calon UMNO, Datuk Md. Rawi Mahmud yang berjaya mengekalkan kerusi disandang selama dua penggal.

Selain itu, hampir majoriti calon BN kali ini adalah muka baharu, ia juga satu lagi petanda Rauf bakal diangkat sebagai KM kerana kedudukan seniornya.

Rauf menjadi watak utama dalam krisis politik Melaka apabila bertindak membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga memberi laluan kepada PRN terpaksa diadakan.

PRN kali ini menyaksikan 20 calon akan diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

BERITA BERKAIT
POPULAR