Najib cabar Anwar jika berani…

Datuk Seri Najib Razak mengulangi penafian beliau adalah individu yang dinamakan dalam Pandora Papers, sambil mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi tuduhannya.

Menurut bekas Perdana Menteri itu MalaysiaKini telah mengaku kesilapan dan memperbetulkan artikel mereka yang memfitnah beliau mempunyai akaun bank offshore dan disenaraikan dalam Pandora Papers.

“Adakah kamu betul-betul kata bahawa saya antara individu yang dinamakan sebagai pemilik akaun bank off-shore yang dinamakan dalam Pandora Papers?

“Ini adalah fitnah. Saya bukan antara individu yang dinamakan dalam Pandora Papers sebab saya tidak pernah milik akaun bank offshore. Saya telah jelaskan beberapa kali tapi korang masih ulangi fitnah tersebut,” katanya.

Malah Ahli Parlimen Pekan itu mencabar Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu supaya mengatakan beliau telah:

  1. Membangkrapkan negara;
  2. Terlibat dalam pembunuhan Altantuya;
  3. Telah mencuri RM42 juta dana SRC;
  4. Telah mencuri RM2.6 bilion atau mempunyai aset RM2.6 bilion; dan
  5. Pernah bertanya “apa lagi Cina mahu?”.

“Anwar, sila ulang point 1 hingga 5 jika berani,” cabar Najib.

Menurut Najib, individu yang dinamakan dalam Pandora Papers itu adalah Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, bukannya beliau.

Najib membuat cabaran berkenaan sebagai mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa terdapat golongan konglomerat yang mendanai parti politik di Malaysia demi menghalang reformasi antirasuah.

Anwar membuat dakwaan itu dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan semalam.

Presiden PKR itu tidak menyebut sebarang nama secara khusus tetapi berkata jika tidak kerana keengganannya untuk berkompromi dengan mereka, dia sudah pun menjadi perdana menteri.

Selain itu, Anwar berkata kritikannya berhubung skandal Kertas Pandora juga menyebabkan dia hilang sokongan tokoh korporat.

“Saya masih ingat di Parlimen tatkala berucap tentang Pandora Paper yang melibatkan mantan perdana menteri, mantan menteri kewangan dan semua nama-nama besar dari pelbagai parti.

“Speaker larang saya bicara tetapi saya nak bicara sebab ini menyentuh kepentingan negara,” katanya tanpa menyebut nama bekas Perdana Menteri tersebut.

BERITA BERKAIT
POPULAR