
Perwakilan UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad mempersoal usul tambahan berhubung dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Seorang perwakilan UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad mengkritik parti utu sambil mempersoalkan adakah UMNO sudah menjadi ‘parti asal boleh’ apabila membenarkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertanding diterima dan dibahas.
Menurutnya usul tambahan itu tidak sempurna dan bertentangan dengan perlembagaan parti dan tidak mengikut Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangannya.
“Peliknya usul tambahan ini diterima dan sedang dibahaskan. Mungkin UMNO sudah menjadi parti ‘asal boleh’.
“Merujuk kepada Fasal 30 dan Perkara 1, usul tambahan yang dicadangkan semalam adalah tidak sempurna dan tidak wajar diteruskan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
“Ia mesti mengikut Perlembagaan dan Peraturan Persidangan UMNO. Jika tidak pasti, sila rujuknya” katanya semasa membahaskan ucapan dasar presiden hari ini (14 Januari 2023).
Semalam, seorang perwakilan dari Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan untuk mengekalkan dua jawatan parti teratas tanpa bertanding dalam pemilihan parti akan datang.
Usul tambahan itu dicadangkan oleh perwakilan UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, semasa perbahasan ucapan dasar presiden parti.
Usul tambahan itu disokong oleh Ketua UMNO Bahagian Marang Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.
Ia bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada perwakilan.
Sementara itu, menurut NST, Pandak turut mempersoalkan hasrat ahli UMNO tertentu untuk membentangkan usul tidak bertanding dengan menggunakan alasan perpaduan parti.
“Jika UMNO mahukan perpaduan dan kestabilan, kenapa hanya menghadkan (usul tidak bertanding) ini kepada jawatan presiden dan timbalan presiden?
“Mengapa tidak semua jawatan sama ada di peringkat bahagian atau cawangan juga tidak bertanding? Barulah perpaduan dan kestabilan parti dapat dikekalkan,” katanya dalam nada menyindir.
Pandak berkata jika ahli parti mahukan peraturan tidak bertanding, ia perlu digunakan untuk jawatan lain di peringkat akar umbi.
“Bawa usul tambahan supaya jawatan di bahagian dan cawangan tidak bertanding.”
Pandak berkata presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kesediaannya untuk dicabar bagi jawatannya pada pemilihan parti, dan ahli harus menerimanya.