Mungkin Rafizi sepatutnya terus lawan Anwar bagi jawatan Presiden: Guan Eng

Rafizi Ramli yang baharu mengumumkan keputusan untuk bertanding dalam pemilihan PKR sepatutnya terus mencabar jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata bekas Ahli Parlimen Pandan itu sepatutnya mensasarkan jawatan tertinggi dalam PKR bukannya sekadar jawatan timbalan presiden, cadangan itu dinyatakan bagi membalas kritikan kononnya Pakatan Harapan (PH) sedang menimbang untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Berhubung kritikan Rafizi tersebut, Guan Eng menyifatkan ia sebenarnya ditujukan kepada Anwar dan Rafizi dilihat menggunakannya sebagai bahan kempennya dalam pemilihan PKR dalam masa terdekat nanti.

“Saya malah keluarkan kenyataan sebelum dia (Rafizi) keluar (kenyataan) – saya mengatakan tidak kepada PN. Di mana isunya?

“Saya rasa yang ini pada dasarnya ditujukan kepada Anwar kerana dia menyebut bukan sahaja PH tetapi PKR (juga). Jadi, dari situ jelaslah kalau ada sebarang rundingan, mereka (PN) akan berbincang dengan Anwar.

“Mereka tidak akan (bercakap) dengan kami. Jika perlu, anda minta kami (Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu) untuk sertai (perbincangan) tetapi pada asasnya, Anwar akan menjadi orang utama untuk ditemui.

“Jadi, sasaran dia (Rafizi) ialah Anwar. Saya fikir kerana ini adalah untuk kempennya bagi jawatan timbalan presiden, saya tidak mahu masuk campur.

“Mungkin, berbanding jawatan timbalan presiden, dia patut terus bertanding untuk jawatan presiden,” kata Guan Eng yang dipetik dalam laporan Malaysiakini.

Guan Eng juga menjelaskan Rafizi sebenarnya tersilap fakta berhubung dakwaan PH mahu bekerjasama dengan PN bagi melawan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

“Saya rasa dia (Rafizi) silap fakta,” tambahnya.

Tambahnya lagi, sejak kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, tidak ada mana-mana pemimpin utama PH yang mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan sebarang bentuk kerjasama.

“Di pihak DAP, seperti yang saya katakan, tidak tidak berbincang dengan PN.

“Setakat ketika atau selepas PRN Johor, di peringkat tertinggi, Mat Sabu dan saya tidak pernah bertemu Muhyiddin. Saya tak rasa Anwar ada berjumpa Muhyiddin,” terangnya lagi.

Untuk rekod, Rafizi mengumumkan keputusannya untuk kembali aktif dalam kancah politik dan akan bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR yang kosong sejak Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatannya menyertai Bersatu semasa Langkah Sheraton lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR