
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin masih belum menerima sebarang surat daripada Lembaga Disiplin UMNO selepas beberapa ahli parti itu sudah menerima notis tersebut baru-baru ini.
Sebelum ini terdapat beberapa laporan media yang menyebut soal kemungkinan beliau dipecat susulan kenyataan terbukanya yang menyatakan matlamatnya untuk membersihkan UMNO sekiranya berjaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Baru-baru ini beliau juga mendakwa wujudnya ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 sehingga usul tambahan yang menyokong tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi UMNO diluluskan.
“Saya tak tahu, saya belum terima sebarang surat berhubung hal itu. Proses biasa adalah anda akan menerima surat daripada lembaga disiplin, namun belum ada apa-apa yang dihantar kepada saya.
“Bagaimanapun, saya sedar bahawa Majlis Kerja Tertinggi (UMNO) sekarang suka dan mempunyai kecenderungan untuk hanya menggantung atau memecat orang secara sebelah pihak.
“Itulah yang berlaku kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Tan Sri Annuar Musa,” katanya lapor New Straits Times.
Nasib beliau bakal diketahui selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu sambil meminta media menunggu keputusan mesyuarat terhadap nasib Khairy dan beberapa individu lain.
“Tidak boleh bagitau awal, malam esok baru ada keputusan. Sila datang beramai-ramai kalau nak mengetahui senarai-senarai mereka yang terlibat itu. Tunggulah apabila MKT membuat mesyuarat esok. Tentunya, mesyuarat esok bukan hanya untuk (bincang) dia (Khairy) secara individu sahaja.
“Saya pernah maklumkan pada PAU lalu bahawa kita akan melakukan pembersihan secara besar-besaran. Ia termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti dalam PRU-15 lalu dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pilihan raya umum diadakan,” katanya laor Kosmo.