Muncul satu lagi kumpulan penentang kumpul SD lawan Zahid

Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti pemimpin negara Republik Congo.

Wujud satu lagi kumpulan mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) bertujuan untuk melawan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menjadi ejen kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengumpulkan SD dikalangan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menggerakan satu lagi langkah mengumpulkan SD daripada Ahli Parlimen BN dan setakat ini berjaya mendapatkan tandatangan 25 daripada 41 wakil rakyat BN untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu, setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu.

“Tujuannya disebabkan kami sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap YDPA tempoh hari,” katanya dipetik.

Mengulas lanjut, tegasnya usaha itu bukanlah bertujuan untuk menukar Perdana Menteri (PM) sebagaimana didakwa segelintir pihak.

“Kita mahu memberi mandat kepada Ahli Parlimen Sembrong berkenaan bagi menjadi jurucakap kepada 25 ahli Parlimen BN sekiranya dipanggil menghadap YDPA.

Jelas beliau, gerakan kumpul SD itu atau lebih dianggap ‘akuan mandat ahli-ahli Parlimen BN’ adalah bertujuan menjelaskan pendirian sebenar mereka berhubung sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada YDPA.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengakui ada usaha mengumpul SD dalam kalangan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mengambil alih kerajaan.

Mengulas lanjut punca 25 ahli Parlimen BN hilang keyakinan terhadap Ahmad Zahid, Mohamed Nazri mendedahkan tindakan Presiden UMNO yang mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar menjadi PM baharu sewaktu menghadap YDPA pada bulan September tahun lalu, amat mengecewakan mereka.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat Ahmad Zahid tanpa pengetahuan majoriti Ahli Parlimen BN, sekali gus menimbulkan rasa curiga ahli-ahli Parlimen berkenaan.

“Berikutan itu, kami bersetuju memberi mandat kepada Hishammuddin untuk menjadi jurucakap ahli-ahli Parlimen BN bagi memberi penegasan sebenar bahawa kami tidak pernah dan tidak akan menyokong Anwar sebagai PM.

“Sekali lagi saya tegaskan usaha kumpul SD itu bukan bertujuan untuk jatuhkan PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau tukar kerajaan baharu.

“SD itu sudah diserahkan kepada Hishammuddin setelah dikumpulkan, namun sama ada beliau telah dipanggil untuk menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong…saya tidak pasti,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat usaha mengumpul tandatangan SD ahli Parlimen daripada kem Pakatan Harapan (PH), Mohamed Nazri menegaskan beliau tidak tahu-menahu mengenainya.

“Itu saya tidak tahu. Gerakan kita hanyalah untuk menjelaskan pendirian sebenar ahli-ahli Parlimen BN kepada Yang di-Pertuan Agong dan menolak sokongan kepada Anwar untuk menjadi PM,” katanya.

Sementara itu, sumber ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendedahkan kem blok pembangkang diketuai Anwar sendiri difahamkan turut melaksanakan gerakan mengutip tandatangan SD bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Dakwa pemimpin UMNO berkenaan, kutipan SD ahli-ahli Parlimen kemudiannya dipersembahkan Ahli Parlimen Port Dickson itu terhadap YDPA sewaktu sesi pertemuan Seri Paduka Baginda dengan ketua-ketua parti politik di Istana Negara bermula 9 Jun lalu.

“Saya difahamkan Anwar mempersembahkan SD mengandungi tandatangan 115 ahli Parlimen termasuk ahli-ahli Parlimen UMNO kepada YDPA, dengan harapan beliau diangkat menjadi PM baharu.

“Bagaimanapun, kami dimaklumkan Istana Negara kemudiannya melakukan verifikasi SD berkenaan dan mendapati berlaku pertindihan tandatangan ramai ahli Parlimen dengan sebuah lagi SD dikemukakan Hishammuddin.

“Secara mudahnya, gerakan kutipan satu lagi SD daripada ahli-ahli Parlimen kerajaan sebenarnya bertujuan mempertahankan Muhyiddin dan menghalang cita-cita Anwar daripada menjadi PM,” katanya.

POPULAR