Muhyiddin tolak tuduhan bantutkan usaha pendakwaan terhadap Najib

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak tuduhan beliau menjadi punca usaha mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terbantut.

Menurut bekas Perdana Menteri kelapan itu beliau antara yang menentang perbuatan Najib dan beberapa yang lain, sehingga beliau sendiri dijatuhkan.

Malah katanya, beliau sendiri tidak akan berkompromi dengan kerosakan yang telah dilakukan itu termasuk dalam soal rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Apa pula saya yang menggagalkan usaha untuk menghadapkan Najib atas apa perkara yang mereka lakukan?

“Saya menentang mereka, sebab itu saya jatuh dan saya tidak bersedia berkompromi dengan apa yang telah dilakukan kebobrokan, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya selepas bertemu masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Tangkak, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata kes itu kini telah berada di mahkamah.

“Mahkamah akan buat keputusan dan ini bukan soal politik lagi tetapi soal undang-undang,” katanya diminta mengulas kenyataan Pengerusi PEJUANG Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan veliau membantutkan usaha mendakwa Najib.

Sementara itu, memetik Bernama, Muhyiddin berkata kempen PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus berjalan lancar dengan pelbagai program dan gerak kerja dilaksanakan pada peringkat akar umbi.

Katanya sepanjang aktiviti turun padang bersama calon, beliau menyaksikan penerimaan masyarakat setempat terhadap PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan amat memberangsangkan.

“Momentum bagus tapi baru bermula selepas penamaan calon… kita akan tingkatkan lagi di setiap peringkat, kita dah wujudkan di peringkat zon bilik gerakan pusat, bilik gerakan zon, ada pengarah-pengarah yang memantau kedudukan di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kita tandingi serta tindakan intervensi untuk memperbaiki situasi di bawah, kempen dan lain-lain perkara.

“Walaupun dikatakan Johor kubu kuat UMNO, bila mereka (penduduk) melihat saya, ada keyakinan bahawa PN adalah satu parti yang baik,” katanya

Muhyiddin berkata PN mahu memulihkan semula ekonomi Johor dengan menekankan aspek pembangunan dan pada masa sama membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, cekap dan berprinsip.

“Esok saya akan ke Johor Bahru semula kerana semua calon kita akan angkat sumpah bahawa mereka tidak akan melakukan rasuah dan salah guna kuasa…ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membentuk kerajaan yang berintegriti,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

 

BERITA BERKAIT
POPULAR