Muhyiddin tak perlu letak jawatan Pengerusi PN: Naib Presiden PAS

Walaupun Perikatan Nasional (PN) hanya menang tiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, (12 Mac 2022), Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu berundur daripada mengetuai gabungan itu.

Malah, Naib Presiden PAS Senator Datuk Idris Ahmad berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam kalangan ahli dan pimpinan PN yang melibatkan Bersatu, PAS dan Gerakan.

“Tiada keperluan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional susulan prestasi gabungan itu pada PRN Johor. Walaupun PN hanya memenangi tiga kerusi dalam PRN Johor, ia tidak bermakna Ahli Parlimen Pagoh itu perlu meletakkan jawatan.

“Setakat ini perkara itu kita tak pernah bincang pun… nak tukar (Pengerusi PN) sama ada waktu menang atau kalah… siapa pengerusi PN, kita tak pernah bincang.

“Berjalan macam biasalah. Kalau kita tengok, dalam pertandingan baru-baru ini, PN tidak hilang wang pertaruhan banyak. PAS pun hanya satu sahaja hilang wang pertaruhan iaitu di kawasan DUN Paloh,” katanya dipetik dari Awani selepas merasmikan Pertandingan Futsal Piala Datuk Haji Idris Ahmad di Kamunting, Perak pada Ahad.

Ditanya sama ada PAS akan kekal dengan PN atau ‘kembali’ kepada Muafakat Nasional (MN) atau bergerak bersendirian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Idris tidak menjawab secara jelas.

Sebaliknya beliau berkata, PAS konsisten untuk bergerak atas semangat perpaduan parti antara PAS, Bersatu, UMNO atau dengan mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan PAS.

“Setakat hari ini PAS kekal dalam bentuk perpaduan, kita terima perpaduan. Kita nak, daripada awal lagi kita konsisten. Sama ada dengan UMNO ataupun dengan Bersatu dan parti-parti yang bersedia untuk bersama dengan kita. Kita terimalah,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR