
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri.
Tindakan Perdana Menteri menuding jari kepada Bersatu kononnya ‘menyumbang’ kepada prestasi kerajaan yang hambar adalah tidak wajar kerana pemimpin parti itu dalam Kabinet mahupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) sudah melunaskan tanggungjwab yang diberikan.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri menegaskan bahawa MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menasihati Datuk Seri Ismail Sabri supaya melaksanakan ‘program luar biasa’ bagi memperkasa semula ekonomi negara yang rentan akibat Covid-19.
Namun, katanya Perdana Menteri dilihat tidak serius dengan pemerhatian Muhyiddin mahupun laporan MPN apabila tiada tindakan komprehensif dilaksanakan kerana lebih banyak melayan gangguan dan ugutan pemimpin UMNO sendiri.
“Akibat memberi tumpuan kepada politiking menyebabkan Perdana Menteri hilang fokus untuk menguruskan kerajaan, rakyat dan ekonomi.
“Ini termasuk mengabaikan cadangan MPN yang diangkat kepada mesyuarat Kabinet yang mempunyai asas kukuh serta boleh dilaksanakan oleh kerajaan.
“Perdana Menteri perlu bersikap profesional dalam mengurus kerajaan kerana jika idea baik tetapi dihalang, yang menerima kesannya adalah rakyat,” katanya.
Solihan berkata PN Johor tidak nampak sesuatu yang baharu sejak Ismail Sabri mengambil alih teraju Kerajaan Pusat kecuali meneruskan perancangan yang dibuat Muhyiddin.
Katanya, ketika negara serantau giat meneruskan projek yang terhenti akibat Covid-19 selain melaksanakan pembangunan baharu yang akan memacu pertumbuhan, negara kita malangnya menjadi perhatian antarabangsa kerana konflik politik yang tidak berkesudahan dan kerakusan pemimpin dengan rasuah.
“Justeru, Perdana Menteri perlu pantas membetulkan keadaan ini dan tidak prejudis dengan teguran Muhyiddin supaya kerajaan serius menyelamatkan negara daripada terus kerugian berbilion ringgit setiap bulan,” katanya lagi.
Antaranya, kata Solihan ialah kepincangan pengurusan ekonomi dan kekurangan tenaga kerja termasuk dalam industri teras seperti kelapa sawit selain kemerosotan nilai ringgit susulan pelbagai faktor yang semakin tidak terkawal.
“Datuk Seri Ismail Sabri juga perlu berani menangani ugutan politik daripadarakan-rakannya dalam UMNO sendiri selain bijak mengimbangi di antara politiking dan keutamaan mengurus kepentingan rakyat,” katanya.