
Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Gambar Agenda Daily
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin reda dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau di mahkamah, sambil menganggapnya sebagai ujian Allah SWT dalam mengharungi cabaran dunia politik yang ramai musuh.
Menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai harga yang perlu beliau bayar, bekas Perdana Menteri itu kekal untuk tidak bersekongkol dengan desakan musuh politik yang batil, sambil tegak berdiri atas prinsip sendiri.
“Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya. Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus.
“Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih. Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. This is the price that I have to pay.
“Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah SWT mengurniakan rahmah dan inayah-Nya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini (Jumaat, 10 Mac 2023).
Terdahulu, Presiden Bersatu itu mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap enam pertuduhan bermotifkan politik serta dendam, kononnya beliau menerima rasuah bagi pihak parti Bersatu dan pengubahan wang haram.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau dan pasukan peguamnya akan berusaha membuktikan kebenaran bagi mendapatka keadilan mahkamah, selain menyerahkan kepada Allah dan hakim yang adil.
Beliau turut meminta rakyat, khususnya ahli dan penyokong PN, supaya kekal bertenang dan memberi peluang kepadanya untuk membela diri melalui proses undang-undang.
“Saya tidak akan mengajak saudara dan saudari turun ke jalanan untuk mempertahankan diri saya. Ini zaman kegawatan ekonomi akibat Covid19.
“Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup. Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara.
“Apa yang saya harapkan hanyalah titipan doa daripada saudara dan saudari sekalian supaya saya diberikan keadilan dan kita semua dilindungi oleh Allah SWT,” katanya.
Menurutnya, beliau akan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah di Shah Alam, Isnin depan.
Mengenai pertuduhan dikenakan hari ini, Muhyiddin berkata ia dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu berkenaan tohmahan salah guna kuasa, tetapi bukan atas kesalahan menerima rasuah bagi diri sendiri.
Ini kerana katanya, setelah siasatan dibuat, didapati tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poket beliau sendiri sepanjang menjadi Perdana Menteri.
“Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik Covid-19.
“Kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej saya, keluarga saya dan parti saya.
“Oleh kerana saya tidak menerima rasuah, mereka mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) bahawa akan wujud Kluster Mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional.
“Dia (zahid) ingin menyamakan saya dengan dirinya.
“Tentu sekali berbeza. Dia (Zahid) dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri. Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata beliau dituduh menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor-kontraktor Bumiputera bagi Projek Jana Wibawa, sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan semua projek itu.
“Kesemua projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan dan tatacara perolehan yang sah.
“Saya juga dituduh menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Saya nafikan dakwaan ini.
“Kelulusan rayuan pengecualian cukai ini dibuat oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya. Inilah dua dakwaaan yang mengakibatkan 7 pertuduhan yang dibuat ke atas saya,” katanya.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, semalam, sebelum keterangan beliau diambil berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa meluluskan rayuan pengecualian cukai oleh Yayasan Al-Bukhary, beliau diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwa beliau.
“Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil? Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan.
“Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution,” katanya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata beliau telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun, dan sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang beliau lakukan.
“Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenang-wenangnya.
“Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang,” katanya.