Muhyiddin kotakan janji, bukan macam Anwar berkomplot dengan Zahid: Dr Mahathir

Tidak seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkomplot dengan anak muridnya, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji mantan Perdana Menteri (PM) Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mencampuri urusan mahkamah.

Bekas PM dua kali itu mengakui bekas rakan sejawatnya itu mempunyai pendirian utuhnya dalam menyekat sebarang percubaan untuk menggugurkan beberapa pertuduhan jenayah terhadap Datuk Seri Najib Najib Razak.

“Muhyiddin memberi jaminan kepada saya, beliau tidak akan masuk campur dalam perbicaraan Najib dan kes-kes mahkamah yang lain.

“Sekurang-kurangnya, dalam perkara ini, saya yakin Muhyiddin kotakan janjinya itu — beliau nampaknya menolak untuk gugurkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib atau mendapatkan pengampunan bagi sabitan jenayahnya,” tulis pemimpin veteran itu dalam memoir terbaharunya.

Buku terbaharu Dr Mahathir itu berjudul “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, sebuah memoir setebal 304 muka surat yang bakal dilancarkan.

Namun Dr Mahathir berkata, kerana prinsip jugalah yang menyebabkan Muhyiddin tumbang pada Ogos lalu, apabila beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya yang didalangi Najib dan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Apabila Muhyiddin menolak untuk menghentikan prosiding mahkamah terhadap Najib, Najib ugut untuk tarik sokongan terhadap gabungan itu, mengakibatkan beberapa peristiwa terjadi menyebabkan Ismail Sabri naik ke tampuk kuasa,” katanya dan menambah beliau sudah mengingatkan Muhyiddin untuk tidak mengambil risiko menerima sokongan Najib bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, Anwar turut bersama dalam komplot dengan Zahid menjatuhkan Muhyiddin, ia terbukti dalam surat yang dihantar ke Istana Negara sebelum ini dan juga klip audio tular perbualan mesra kedua-dua mereka.

Dalam klip audio tersebut, Anwar dianggaps sebagai cikgu kepada Zahid dan membincangkan strategi untuk menjatuhkan Muhyiddin bersama-sama.

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak percubaan Najib untuk mengenepikan sabitan tujuh pertuduhan ke atasnya termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Sabitan yang dijatuhkan pada Julai tahun lalu itu turut membawa hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta, sekitar empat bulan selepas Muhyiddin menduduki jawatan PM selepas membawa Bersatu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir dan Muhyiddin adalah pemimpin utama yang membentuk Bersatu pada 2016 bagi mencabar Najib ketika pendedahan berhubung skandal berkait 1MDB memuncak dalam negara.

Parti itu kemudiannya bergabung bersama PH bagi menamatkan enam dekad pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, sekali gus menyaksikan Dr Mahathir menjadi ketua kerajaan paling tua di dunia yang dipilih dalam pilihan raya pada usia 93 tahun.

Namun susulan beberapa kontroversi berhubung peralihan kuasa yang bakal menyaksikan bekas musuhnya Anwar menggantikan beliau bagi jawatan paling kanan dalam negara itu, keretakan mulai jelas dalam kerajaan PH.

Pada awal 2020, gabungan itu akhirnya tumbang sehingga menyebabkan perpecahan dalam PKR dan Bersatu.

BERITA BERKAIT
POPULAR