
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ada melawat Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya sebaik dilantik memegang jawatan nombor satu negara sebelum ini.
Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri Kelapan itu mendedahkan Zahid dan Najib berkunjung ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebagai kunjungan hormat namun masing-masing juga membawa bersama permintaan yang sukar untuk ditunaikannya.
Dalam ceramahnya di Tangkak malam tadi, Muhyiddin berkata Zahid melawatnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’.
“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya.
“Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan),” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
Namun, permintaan itu ditolak dengan baik dan Muhyiddin memberitahu Zahid jika tidak bersalah adalah lebih baik proses mahkamah yang menentukannya.
Sementara itu, Muhyiddin juga mengulangi dakwaannya bahawa Najib juga ada meminta campur tangannya untuk menggugurkan Tan Sri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kes mahkamah yang dihadapinya.
Katanya, permintaan itu dibuat ketika Najib datang melawat di pejabatnya untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
“‘Bosku’ datang ke pejabat saya beri penghormatan sebagai perdana menteri, dalam cerita punya cerita, dia cerita juga kes mahkamah.
“Kalau boleh minta saya keluarkan (Datuk Seri Gopal) Sri Ram. Mana boleh, saya tidak akan buat macam itu.
“Akhirnya dalam tempoh beberapa bulan kedudukan kerajaan yang awal-awal ok dah jadi macam tak berapa ok, bergoyang-goyang,” katanya.
Najib sebelum ini menafikan ada meminta campur tangan Muhyiddin dan mengancam mahu menyaman beliau.
Untuk rekod, kedua-dua pemimpin utama UMNO itu kini sedang berdepan puluhan pendakwaan di mahkamah dan menjadi dalang utama kejatuhkan kerajaan PN sebelum ini kerana bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan dipimpin Muhyiddin.