Muhyiddin bersih sebab itu UMNO berusaha bunuh karakter beliau: Wan Saiful

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan UMNO begitu giat untuk membunuh karakter Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana Presiden Bersatu itu mempunyai rekod bersih dalam politik dan pentadbiran.

Menurutnya tindakan itu dilakukan setelah UMNO kini tiada pilihan lain apabila kredibiliti presiden parti itu sendiri diragui selain terlibat dengan pelbagai kes mahkamah.

“Strategi yang digunakan UMNO ini adalah pembunuhan karakter. Bagi mereka disebabkan Presiden UMNO seorang yang diragui kredibilitinya dan menghadapi pelbagai kes mahkamah.

“Dalam keadaan tiada pilihan, itulah Presiden yang mereka ada. Jadi, mereka perlu pastikan Presiden parti lain juga dianggap tidak bersih. Saya tidak peliklah UMNO dan BN (Barisan Nasional) nak membunuh karakter Muhyiddin ini sebab tiada pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti, di Iskandar Puteri, hari ini.

Sehubungan itu memetik Utusan, Wan Saiful berkata Bersatu juga bertekad untuk memastikan UMNO berkubur di negeri kelahiran parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Menurutnya Bersatu sedar terdapat usaha yang digerakkan UMNO dan BN yang mahu mencalarkan imej dan kredibiliti Muhyiddin bagi menguburkan Presiden parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kita faham kehendak UMNO adalah kuburkan Bersatu di negeri Johor tetapi di peringkat kita pula, kita nak UMNO dikuburkan di negeri mereka dilahirkan,” katanya.

Katanya, tindakan pembunuhan karakter yang dilakukan UMNO itu adalah langkah terdesak kerana Muhyiddin mempunyai rekod bersih.

“Macam saya cakap dalam ceramah tadi, kalau ditampal gambar Zahid Hamidi sebelah Tan Sri Muhyiddin, saya rasa orang akan gelakkan sahaja jika nak buat perbandingan itu.

“Jadi, ini peluang kita dan rakyat untuk tunjukkan kepada UMNO yang sudah itu sudahlah. Kita dalam Perikatan Nasional (PN) fokus untuk pastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik.

“Kita tak mahu rakyat dapat kerajaan yang diragui integritinya dan hanya mahu memperkaya diri sendiri, sebab itu kita mahu rakyat jangan undi BN dan UMNO,” katanya.

Beliau berkata rakyat perlu menolak UMNO dan BN dalam PRN Johor dengan mengundi PN yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan berintegerti.

Mengenai PRN Johor, Wan Saiful berkata dakwaan UMNO mengatakan pilihan raya itu diadakan untuk mencapai kestabilan politik adalah satu penipuan semata-mata.

“Mereka kata kerajaan negeri tak stabil, mana pernah tak stabil. Ada Bersatu, PAS, Gerakan buat masalah? PH pun tak buat masalah dalam kerajaan negeri Johor.

“Bagi saya, apabila Dato Hasni kata bahawa dengan majoriti yang ada, dia tak boleh bentuk dan tadbir kerajaan dengan baik, itu bukan lambang ketidakstabilan kerajaan. Itu bukan masalah kita. Itu pengakuan dia yang dia tidak tahu mentadbir.

“Kalau UMNO nak bercakap mengenai kestabilan, bukan dengan cara pilihan raya negeri. Caranya buat pemilihan UMNO tu dulu! Selesaikan masalah dalaman kamu, tidak perlu bebankan rakyat sehingga buat PRN di musim Covid-19 sedang meningkat naik,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR