
Sebahagian penyokong Perikatan Nasional yang hadir di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini (Jumaat, 10 Mac 2023). - Gambar Agenda Daily
Pertuduhan terpilih bermotifkan politik dan dendam terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah hari ini, (Jumaat, 10 Mac 2023) adalah peristiwa yang menyedihkan bagi negara, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Presiden Bersatu itu berkata ini kerana seorang pemimpin yang telah berkorban besar terhadap rakyat Malaysia, terutama dalam mengendalikan pandemik Covid-19, telah dimalukan dan didakwa di mahkamah atas alasan tidak rasional.
Ahmad Faizal berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama sekumpulan penyokong Bersatu untuk menunjukkan sokongan kepada Muhyiddin, presiden parti dan Pengerusi Perikatan Nasional.
“Kami berharap pegawai mahkamah dan pendakwa raya dapat melaksanakan tugas mereka demi rakyat dan Allah.
“Jika seorang negarawan pun boleh diperlakukan sedemikian, bagaimana nasib rakyat?” soal ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini (Jumaat, 10 Mac 2023).
Ahmad Faisal yang hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin juga berkata beliau percaya keadilan dan kebenaran akan ditegakkan.
Penyokong Perikatan, kebanyakannya dari Perak, dilihat memakai baju-T “Kami bersama Abah” sambil melaungkan kata-kata sokongan dan “HIDUP RAKYAT” di pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas ketibaan Muhyiddin.
Mereka berkata pertuduhan terhadap Muhyiddin dibuat dengan niat jahat dan menyamai “kezaliman” politik oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terhadap parti pembangkang.
Kerajaan PH-BN yang diketuai PKR disertai DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS); Gabungan Rakyat Sabah (GRS); serta beberapa parti kecil lain dan Bebas.
Muhyiddin kemudian meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sambil diiringi sekumpulan penyokong PN yang terus melaungkan kata-kata sokongan “Hidup, hidup, lawan, lawan” dan “HIDUP RAKYAT” ketika kenderaan presiden Bersatu keluar dari kompleks mahkamah kira-kira jam 11.50 pagi.
Para penyokong juga diingatkan untuk hadir di mahkamah Shah Alam pada Isnin (13 Mac) di mana Muhyiddin dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan.
Mereka yang hadir turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada polis yang menjaga keamanan sambil melaungkan “Terima kasih, PDRM”, sebelum bersurai.