
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini berganding bahu membantu rakyat yang sedang berdepan masalah banjir di beberapa negeri, dengan mengetepikan dahulu fahaman politik masing-masing.
“Saya amat bimbang dengan keadaan hujan yang lebat di beberapa kawasan dan paras air yang semakin menaik di sungai-sungai utama di Pahang, Perlis, Sarawak, Selangor dan juga beberapa kawasan di Johor, seperti yang telah diramalkan sebelum ini.
“Agensi-agensi kerajaan yang berkaitan diharap sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi situasi banjir dan membantu mangsa-mangsa.
“Saya juga menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama, membantu memastikan rakyat selamat. Ketepikan soal politik, apa yang penting nyawa rakyat selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini (11 November 2022).
Sehubungan itu, Muhyiddin mengerahkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional, supaya mengutamakan bantuan kepada rakyat yang berdepan masalah di kawasan masing-masing.
“Semoga usaha kita semua diberkati. Saya mendoakan agar penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir terselamat dan kita semua dilindungi dari musibah banjir ini, insya-Allah,” katanya.
Bercakap kepada media selepas program sembang santai dengan masyarakat PDM Parit Raja, PDM Kampung Kundang Ulu dan PDM Ladang Serampang di Parlimen Pagoh, hari ini beliau berkata Perikatan Nasional yakin mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU-15, pada 19 November ini.
Walaupun yakin, tetapi, bekas Perdana Menteri itu berkata Perikatan Nasional tidak boleh ‘terlalu yakin’ sebaliknya kerja keras untuk menarik sokongan pengundi perlu terus dilakukan.
“Sejak Perikatan Nasional melancarkan manifesto iaitu Tawaran PN BEST, sokongan daripada pengundi Melayu semakin meningkat. Sebahagian besar pengundi daripada kaum lain, terutama Cina juga bertambah,” katanya.
Hanya tinggal tujuh hari sahaja lagi, 21,173,638 pengundi akan memilih 222 calon daripada 945 individu yang difikirkan layak mewakili mereka bagi penggal Parlimen ke-15.
Muhyiddin berkata Perikatan Nasional akan terus memaklumkan kepada rakyat, mengenai isu Covid-19, pemulihan ekonomi dan tawaran yang dijanjikan parti itu sekiranya dapat membentuk kerajaan.
“Ekonomi negara telah pulih dengan laporan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Tapi tak boleh beri kredit kepada Perdana Menteri baharu sahaja.
“Ia (peningkatan KDNK) berlaku ketika langkah-langkah (Kerajaan Perikatan Nasional) ambil waktu zaman susah, sebelum ekonomi dibuka semula. Baru ada perkembangan KDNK.
“Bukan kredit untuk BN sahaja, tapi usaha dibuat sejak Kerajaan Perikatan Nasional, ketika pandemik Covid-19,” katanya.