Muhyiddin ajak bangsa Johor fikir bentuk kerajaan yang dikehendaki

Dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi sebelum lebih 2.8 juta pengundi membuat pilihan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang baharu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak bangsa Johor berfikir apakah kerajaan yang hendak dibentuk itu.

“Yang penting untuk saya peringatkan, apa pun yang nak diputuskan oleh pengundi… dalam tempoh berapa jam ke hadapan ini ialah untuk memikirkan suatu perkara yang cukup utama iaitu soal membentuk sebuah kerajaan.

“Kerana kita nak bentuk sebuah kerajaan yang baru… Tapi yang nak dibentuk ialah kerajaan yang bagaimana? Kerajaan yang akan dibentuk ialah sebuah kerajaan yang dapat mengurus nasib rakyat.

“Kerajaan yang berintegriti… kerajaan yang prihatin rakyat… yang cekap, yang amanah,” kata beliau pada ceramah umum PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mersing, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyentuh sedikit mengenai sikap amanah, di mana pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang tidak amanah hingga menyebabkan nama Malaysia tercemar di dunia.

Pemimpin BN dan UMNO itu katanya, telah menyalahgunakan kuasa, melakukan kemungkaran, merompak harta benda dan mengamalkan rasuah.

“Media antarabangsa mengatakan kes rasuah atau penyelewengan itu adalah kes yang terbesar di seluruh dunia berlaku di sebuah negara kecil iaitu Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan apa yang berlaku di Johor sekarang bukan sekadar pilihan raya sahaja dan bukan isu untuk membentuk sebuah kerajaan negeri.

Tetapi ia lebih kepada sebuah kerajaan yang berintegriti, tidak rasuah atau tidak melakukan salah guna kuasa serta penyelewengan sebagaimana dilakukan kerajaan BN dan UMNO sebelum ini, katanya.

Bagi menentukan kewujudan sebuah kerajaan berintegriti, cekap dan prihatin rakyat demi bangsa Johor, Muhyiddin mengingatkan pengundi supaya beramai-ramai keluar menunaikan tanggungjawab memilih PN.

“Kehendak saya ialah kalau boleh semua pengundi yang ada di negeri Johor dan majoriti pengundi adalah pengundi Melayu memberikan sokongan kepada calon Perikatan Nasional. Dengan satu jumlah majoriti yang besar, supaya dapat menubuhkan kerajaan baharu.

“Kalau orang Melayu kata dia boleh mengundi tapi tak keluar mengundi saya nak sebutkan sini di sebelah sana tu (BN) dia sudah ada satu jumlah undi teras… undi pokok.

“Disebabkan kerana kononnya UMNO sudah lama tertubuh di Johor, dia ada undi teras. Kita (PN) juga ada undi teras. Yang penting ialah supaya undi teras kita itu melebihi undi teras UMNO dan BN.

“Saya nak jelaskan ini pasal orang fikir pilihan raya ini main-mainan… tidak. Pasal dengan sambutan yang diterima seolah-olah PN telah menang.
Tapi bila sampai pilihan raya bukan perasaan… bukan sentimen tapi angka undi yang kita dapat,” katanya.

Oleh itu, Muhyiddin sekali mengingatkan semua pengundi supaya dapat keluar menunaikan tanggungjawab memilih sebuah kerajaan baharu pada Sabtu ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR