
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata ijtihad zahid bukan demi rakyat, tapi berkaitan kes mahkamahnya.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata ijtihad Datuk Seri Ahmad Zahid Hamisi berhubung mudarat jika UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) menubuh Kerajaan Pusat, hanya berkaitan kes yang sedang dihadapinya.
Menteri Besar Kedah itu ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO – yang kini dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) – berkata perkara itu bukan ijtihad demi kepentingan rakyat.
“Beliau tahu ucapan pemimpin BN dan UMNO tentang DAP. DAP, malah menyanyi (hoi ya hoi) sakan dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu terhadap BN.
“Saya tak gamak (sanggup) nak ulang apa yang mereka gamak kata sesama sendiri. Tetapi akhirnya depa (mereka) memilih juga untuk bersama.
“Jadi terpulang kepada mereka, itu ijtihad beliau untuk dirinya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini (15 Mac 2023).
Menerusi satu wawancara bersama Awani semalam, Zahid mendakwa keputusan BN untuk memilih PH atau PN bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 dibuat dengan mengambil kira ‘kemudaratan’ yang lebih besar.
Menurutnya, perkara itu kemudian dibentangkan bersama Biro Politik dan Majlis Tertinggi sebelum keputusan dicapai untuk bersama PH dengan BN berpandangan ‘kemudaratan lebih besar’ adalah jika bersama PN.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau hairan mengapa perkara sedemikian masih dibangkitkan sedangkan PH dan BN sudah sekian lama membentuk kerajaan Persekutuan.
“Mungkin Zahid bimbang kerajaan terbalik berdasarkan perkembangan dalam partinya sendiri. Apabila berlaku pemilihan dalam parti, mungkin kerajaan akan ‘terbalik’ apabila parti beliau berubah kepimpinan.
“Mungkin pemimpin baharu yang dipilih nanti akan tarik sokongan terhadap kerajaan dan gabungan bersama PH jatuh. Proses itu dibenarkan undang-undang dan kita cuma harap mereka lakukanlah perkara itu,” katanya menurut Warta Rakyat.
Untuk rekod Zahid kini berdepan 47 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, manakala rayuan terhadap pembebasannya daripada 40 lagi pertuduhan di Mahkamah Tinggi telah dibuat.