Mudah bangunkan negara jika UMNO, BN tiada, kata Naib Presiden PAS

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyindir UMNO sambil mengingatkan rakyat bahawa Singapura yang berjiran dengan Malaysia lebih maju kerana tidak ada Barisan Nasional (BN) dan UMNO di negara itu.

Pada ceramah penerangan Perikatan Nasional (PN) sempena PRN Johor di DUN Benut malam tadi beliau berkata keutamaan rakyat adalah untuk memilih dan mempunyai pemimpin yang baik terlebih dahulu di mana pembangunan akan menyusul.

“Cuba kita lihat Singapura. Mana yang lebih maju antara Singapura dengan Malaysia? Tentulah yang lebih maju adalah Singapura. Saya meminta maaf untuk bertanya secara berterus-terang, UMNO ada ke di Singapura?

“Ada BN ke di Singapura? Tiada. Ini bermakna, jika tiada UMNO, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara. Sehinggakan setiap hari orang Malaysia menyeberangi tambatan Johor untuk bekerja di Singapura,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu seperti dilapor Harakah.

Beliau menjelaskan sama seperti kerajaan di mana jika UMNO boleh melakukannya, maka PN juga insya-Allah boleh melakukan yang lebih baik daripada parti itu.

Mohd Amar berkata ketika mula menjadi wakil rakyat, beliau pernah bertemu dan berbual dengan peniaga Cina.

“Saya bertanya secara terus-terang, mengapa kamu orang Cina sokong PAS? Mengapa kamu sokong Tuan Guru Nik Aziz?” Mereka berkata, YB, kita bukan mahukan pembangunan atau kemajuan, tetapi yang kita inginkan adalah pemimpin yang baik,” katanya.

Beliau juga berkata Kelantan telah membuktikan betapa masyarakat bukan Islam dalam kalangan kaum Cina, India dan Siam dapat hidup dengan aman harmoni serta mempraktikkan kepercayaan dan budaya mereka tanpa halangan.

Menurut beliau, sekitar 90 peratus orang bukan Islam yang merupakan rakyat Negeri Kelantan menyokong PAS menerajui pemerintahan Kerajaan Kelantan sejak sekian lama.

BERITA BERKAIT
POPULAR