
Anak Muda Keadilan membantah hasrat Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membawa MUDA menjadi parti komponen Pakatan Harapan.
Ketidakmatangan pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam berpolitik, terutama membabitkan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), antara sebab ianya ditolak oleh pemimpin muda dan akar umbi PKR.
Pengarah Strategi AMK PKR Bryan Ng Yih Miin berkata terdapat pelbagai sebab mereka enggan menerima MUDA sebagai sebahagian daripada gabungan terbesar pembangkang.
Ng dilaporkan mendakwa bahawa MUDA secara terbuka bercakap mengenai bertanding di Parlimen Petaling Jaya yang dimenangi oleh Maria Chin Abdullah daripada PKR pada PRU-14.
“Mesti ada perbincangan tertutup mengenai perkara seperti ini, bukan secara terbuka di Twitter. Tiada kematangan daripada mereka apabila melibatkan perkara seperti ini.
“Di Larkin, mereka menentang PKR. Kerusi itu, sebelum pencalonan, telah dipersetujui diperuntukkan kepada PKR. Tetapi kemudian mereka (MUDA) tiba-tiba membuat keputusan sendiri untuk bertanding menentang kami.
“Anda tidak boleh membuat keputusan unilateral dan memberitahu seluruh dunia tanpa berunding dengan kami jika mahu bekerjasama,” Ng, yang juga ketua Pemuda PKR Petaling Jaya, dipetik sebagai berkata dalam laporan MalaysiaInsight
MUDA yang diketuai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah tidak asing lagi dalam kerjasama dengan PH. Selain ketika Pilihan Raya Negeri (PR) Johor, parti itu juga bekerjasama dalam menganjurkan beberapa demonstrasi di ibu negara.
Bagaimanapun, keretakan hubungan itu tercetus setelah MUDA memutuskan untuk menentang PKR di Larkin ketika PRN Johor walaupun bersetuju untuk bekerjasama bagi mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Sebahagian ahli dan pemimpin dalam PKR melihat tindakan itu sebagai punca kemenangan calon UMNO Mohd Hairi Mad Shah.
6 September lalu, Syed Saddiq berkata parti itu sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen.
Bagaimanapun, Ketua AMK PKR Adam Adli Abdul Halim dilaporkan berkata keputusan untuk bekerjasama dengan MUDA bukan sahaja mestilah berdasarkan kesediaan akar umbi, tetapi mengambil pengajaran daripada Larkin juga.
“Itulah yang merumitkan keputusan itu. Jadi dari segi itu, ada pengalaman baik dan buruk bekerja dengan MUDA.
“Tetapi masa mesti diberi untuk akar umbi dan juga parti lain (dalam PH) membuat keputusan kerana apabila tiba PRU-15, kita mahu akar umbi bekerja,” katanya dipetik sebagai berkata.
Menurut Adam Adli rata-rata akar umbi dan pimpinan AMK serta PKR dilihat tidak senang dengan perkembangan itu (permohonan MUDA), dan ianya adalah berasas.
“Tiada jalan mudah buat MUDA. Banyak prasyarat yang perlu dipertimbang sebelum keputusan dicapai. Banyak laluan yang perlu ditempuh selain Majlis Presiden PH.
“Sehingga kini, di peringkat AMK, KEADILAN, malah Majlis Presiden PH; tiada perbincangan khusus pernah diadakan berkait hasrat MUDA tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Twitternya.