MUDA sewajarnya bertanding sendiri nak uji kekuatan, tak perlu minta dengan PH

Selepas terpaksa meminta ihsan sedekah kerusi daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sewajarnya bertanding sendiri tanpa berunding dengan parti lain.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti yang dipimpin oleh bekas Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu berunding kerusi dengan parti lain sekiranya mahu menguji kekuatan mereka sehingga dilihat meminta simpati daripada orang lain.

“Sewajarnya bertanding sendiri sahaja lah, nak uji kekuatan.

“Nak berunding dengan orang lain itu, kamu ada 56 kerusi, kalau nak bertanding (pilih) bertanding lah mana-mana kerusi sahaja lah… kalau nak uji kekuatan sendiri, jangan berunding dengan orang, itu pandangan saya lah,” katanya semasa ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pagi ini di Johor Bahru.

MUDA sebelum ini dilaporkan diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, AMANAH dan DAP Johor.

AMANAH dilaporkan memberikan empat kerusi kepada MUDA daripada 20 kerusi miliknya, manakala DAP pula memberikan dua kerusi kepada MUDA daripada 16 kerusi milik parti itu.

Kesepakatan antara tiga parti membawa keputusan muktamad MUDA diperuntukkan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Bagaimanapun, PKR bertindak menamatkan rundingan rasmi dan mengambil keputusan tidak memberi sebarang agihan kerusi kepada parti itu, setakat ini.

PRN Johor merupakan penampilan sulung Syed Saddiq selepas mendapat kelulusan penubuhannya daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

BERITA BERKAIT
POPULAR