
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebulat suara bersetuju untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.
Perkara itu diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya MUDA yang berlangsung pada Isnin dan Selasa.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu, menurut Awani.
Pada masa sama beliau berkata MUDA menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk di Muar, yang kini diwakili beliau.
Syed Saddiq berkata objektif utama parti itu ialah untuk memberi nilai tambah kepada pembangkang pada PRU15 dan bukan hanya untuk memenangi kerusi semata-mata.
“Kita (MUDA) bukan melihat kerusi Parlimen satu kawasan sahaja, malah kita juga melihat semua kerusi Parlimen di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kita juga ada pasukan yang kuat di Borne, jadi kita akan letak calon di sana,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Pilihan Raya MUDA di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya tawaran MUDA untuk PRU-15 adalah menampilkan calon-calon yang berwibawa, mengangkat kepimpinan wanita dan orang muda serta membawa idea yang progresif untuk rakyat Malaysia.
Pada majlis sama, Syed Saddiq turut mengumumkan Timbalan Presiden MUDA Amira Aisya Abd Aziz sebagai Pengarah Pilihan Raya MUDA bersama sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Raya parti itu.