
Tan Sri Noh Omar.
Majlis Tertinggi (MT) boleh menyingkirkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada jawatannya tetapi ia sesuatu yang mustahil dapat dilaksanakan.
Langkah untuk menyingkirkan Presiden UMNO boleh dibuat menerusi undi tidak percaya dan usul itu perlu mendapat sokongan dua pertiga daripada anggota dalam Mesyuarat MT parti itu, dakwa bekas ahlinya, Tan Sri Noh Omar
Kalau hendak singkir, kena ada dua pertiga daripada MT, kalau kata dia buat keputusan undi tak percaya dan sebagainya kena dapat dua pertiga. Kalau tak dapat, tak boleh buat. Bukannya mudah, daripada pengalaman saya hendak dapat dua pertiga dalam sesuatu keputusan bukannya mudah.
“Kita kena ingat yang bertanding 25 kerusi, tetapi yang dilantik berapa ramai? Itu yang tak dapat. Takkan yang dilantik hendak ikut yang dipilih. Jadi, kalau kata hendak gulingkan presiden, saya ingat mustahil. Kena ikut perlembagaan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Pemilihan UMNO bagi jawatan Naib Presiden dan MT pada peringkat pimpinan pusat serta ketua bahagian akan berlangsung pada Sabtu ini.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menjelaskan bersedia kembali kepada parti jika kepimpinan terutama Presiden bertukar.
“Kalau tukar presiden mungkin saya boleh comeback, sebab dia yang pecat saya. Yang pecat saya bukan Lembaga Disiplin, MT, saya selalu sebut. Kalau Lembaga Disiplin pecat saya kena ada laporan, tetapi kes saya Lembaga Disiplin belum bermesyuarat tetapi keputusan sudah dibuat.
“Keputusan yang dibuat pula bukan daripada MT. Kalau kes saya ini dibahaskan MT kemudian diundi macam kes Datuk Lokman Adam, bila hendak pecat beliau kena bawa dalam MT ada sokong dan tidak,” jelasnya lagi.