MT tetap mahu jawatan PM diberikan kepada UMNO, keluar PN segera

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung malam ini merancang untuk meneruskan tindakan keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan segera dan mahu jawatan Perdana Menteri (PM) diberikan kepada parti tersebut.

Sumber mendedahkan kepada Agenda Daily, MT berpandangan tindakan segera perlu diambil untuk menarik sokongan tersebut kerana jika program vaksinasi yang sedang dijalankan kerajaan ini berjaya dan jumlah kes Covid-19 menurun, ketika itu UMNO akan hilang peluang terbaik memandangkan ketika ini rakyat sedang marah terhadap kerajaan.

“Kena buat cepat (tarik sokongan), pasal nanti kalau vaksinasi berjaya jumlah angka jangkitan akan turun,” kata sumber ahli MT yang hadir dalam mesyuarat tersebut.

Jelas sumber, tindakan keluar daripada kerajaan PN perlu diambil segera kerana jika vaksinasi berjaya ia sudah terlambat untuk UMNO mengambil tindakan tersebut.

“Kalau berjaya program vaksinasi ini, ketika itu ia sudah terlambat untuk UMNO (menarik sokongan),” katanya lagi.

Selain itu, beberapa ahli MT juga menuntut supaya jawatan Perdana Menteri diberikan kepada UMNO dan perlu menjadi dominan menguasai kerajaan.

“Sepatutnya jawatan PM menjadi milik UMNO, bukan sahaja TPM… Ahli MT menuntut supaya jawatan nombor satu tersebut diberikan kepada UMNO bukan Bersatu,” katanya lagi.

Menurut sumber, hanya ahli MT yang mesra dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan peluang untuk bercakap dalam mesyuarat tersebut.

Seorang ahli MT, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang awal hari ini mendesak Zahid supaya meletak jawatan dihalang daripada bercakap semasa mesyuarat tersebut berlangsung.

Dalam pada itu, perbincangan juga terarah kepada jawatan Menteri dan Ahli Parlimen (MP) UMNO yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dikekalkan dalam pembentukan kerajaan baharu dan hanya PM baharu sahaja yang diganti.

Berhubung lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebanyakkan ahli MT tidak mempertikaikan lantikan tersebut dan ada yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Kesimpulannya, Presiden dan ahli-ahli MT yang satu kem juga menyokong supaya UMNO membuat ketetapan untuk segera meninggalkan kerajaan PN semasa mesyuarat malam ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR