
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) daripada PKR yang menyamakan rampasan kuasa tentera di Myanmar seperti ‘Langkah Sheraton’, adalah satu penghinaan kepada menteri kerajaan PH-Barisan Nasional (BN).
Ketika bangun menanyakan soalan kepada Menteri Luar kerajaan PH-BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ahmad Fadhli berkata persoalan dikemukakan Jimmy Phua sebenarnya menghina menteri dan juga Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor.
Terdahulu, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini (Khamis, 9 Mac 2023) Zambry menjawab soalan berkaitan pengiktirafan Malaysia terhadap Myanmar.
Jimmy Phua bangun untuk bertanyakan soalan tetapi terlebih dahulu bercakap soal Langkah Sheraton menyebabkan dia ditegur oleh Ramli.
“Tapi tak apa. Manusia merancang tapi Tuhan menentukan. Nasib baik pada PRU baru-baru ni rakyat tetap kembali memberi sokongan…(ketika ini pembesar suara dimatikan oleh Ramli).”
Timbalan Speaker kemudian mengingatkan Jimmy Phua supaya mengemukakan soalan sambil memberi amaran akan mengarahkannya duduk.
Mengulas perkara itu, Ahmad Fadhli menyifatkan soalan tambahan Jimmy Phua sebagai menghina menteri dan timbalan speaker yang kedua-duanya adalah daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ini kerana, katanya, Zambry dan Ramli adalah daripada parti yang turut menjadi kerajaan pada 2020 hingga 2022.
“Pagi ini saya bangun mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Luar Negeri berhubung pendirian kerajaan Malasyia terhadap situasi di Myammar sekarang yang aman kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat telah digulingkan oleh junta tentera pada bulan lepas.
“Sebelum itu, saya menyifatkan soalan tambahan pertama dari YB Tebrau telah menghina Menteri dan Timbalan Speaker (yang kedua-duanya dari UMNO dan BN) di mana beliau menyamakan rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar seperti Langkah Sheraton tiga tahun lepas.
“Beliau lupa bahawa apa yang disebut sebagai Langkah Sheraton itu juga proses demokrasi, dan UMNO-BN juga merupakan sebahagian daripada kerajaan 2020-2022,” kata Ketua Pemuda PN itu.