MP PKR gesa semua parti buang ego, duduk satu meja lawan BN

Seorang Ahli Parlimen (MP) PKR menggesa semua parti termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk duduk satu meja dan berbincang bagi menghadapi lawan, Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Gesaan itu disuarakan MP Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mahu semua parti mengenepikan ego kerana hanya kerjasama tersebut dapat membantu mereka menewaskan BN, ia bagi mengambil pengajaran yang berlaku di Melaka dan Johor baru-baru ini.

Hassan mengakui sebelum ini sangat marah dengan tindakan Bersatu sebelum ini, bagaimanapun mengganggap perkara itu sudah berlalu kerana jika berterusan bermusuhan ia hanya akan mengakibatkan BN akan mendapat laluan mudah pada PRU-15 nanti.

“PH dan PN kena kena buang ego masing-masing, saya sendiri secara peribadi marah dengan kawan-kawan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dianggap telah mengkhianati PH, tetapi perkara itu sudah berlalu.

“Maknanya sekarang kita kena ada perubahan. Kita tidak boleh lagi beri laluan mudah kepada BN atas segala perkara yang telah mereka lakukan, pembangkang perlu bersama-sama menghadapi mereka,” katanya dipetik laporan media, Utusan Malaysia.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu menambah, semua pihak perlu berlapang dada dan tidak menutup sebarang pintu rundingan bagi memastikan kerjasama tersebut berjaya.

“Walaupun kerjasama strategik ini melibatkan kepentingan bersama, tetapi PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan juga Parti Amanah Negara boleh bertindak selaku parti induk kepada gabungan pembangkang.

“Selain kerjasama dengan PN dan Muda, kita juga tidak seharusnya menolak perbincangan dengan parti pembangkang lain seperti Pejuang dan Parti Warisan, namun buat waktu ini perbincangan perlu dibuat antara PH, PN dan juga Muda terlebih dahulu.

“Semua pihak perlu berlapang dada dan berjiwa besar untuk memastikan kerjasama strategik ini berjaya dalam matlamat menewaskan BN, jadi jangan tutup sebarang pintu rundingan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, gesaan sama juga disuarakan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjangkakan perlu diwujud pakatan antara parti-parti politik bagi menentang BN dalam PRU-15.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, perpecahan antara pembangkang hanya akan memberikan kelebihan dan manfaat kepada BN untuk terus mentadbir negara dan negeri.

BERITA BERKAIT
POPULAR