
Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini didedah media menjadi wakil Jho Low dalam berunding penyelesaian berhubung kes 1MDB dengan kerajaan.
Tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apadi Ali yang menjadi wakil berunding dalam penyelesaian melibatkan penjenayah Low Taek Jho atau Jho Low dengan kerajaan adalah tidak bertanggungjawab.
Ahli Parlimen (MP) PKR, Hassan Abdul Karim menyifatkan tindakan Apandi tersebut sebagai tidak wajar memandangkan Jho Low sudah melakukan jenayah dan tawaran pembayaran itu seakan menghina undang-undang negara.
“Adakah betul dari segi undang-undang jenayah di Malaysia bahawa pertuduhan kesalahan jenayah di mahkamah Malaysia boleh digugurkan jika ada bayaran wang dibuat, apatah lagi jika bayarannya besar seperti RM1.5 bilion,” katanya dalam satu kenyataan media.
MP Pasir Gudang itu juga berkata adakah Apandi tidak sedar dengan jenayah yang dilakukan oleh Jho Low sehingga sanggup menjadi wakil kepada Jho Low.
“Tidakkah bekas Peguam Negara, Apandi menyedari bahawa Jho Low telah terlibat dalam jenayah penipuan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyebabkan kerajaan Malaysia mengalamai kerugian berjumlah lebih RM50 bilion ringgit?” katanya lagi.
Hassan juga mempersoalkan sama ada Jho Low begitu memandang rendah terhadap sistem kehakiman di Malaysia sehingga menganggap semuanya boleh dijual beli.
“Adakah pada pandangan Jho Low bahawa Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman Malaysia sanggup bersekongkol dengan penjenayah sepertinya dan boleh diajak berunding tawar-menawar untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dirinya jika ada harga yang sesuai boleh dibayar?” katanya.
Hassan juga mempersoalkan mengapa penolakan itu hanya berlaku selepas beberapa rundingan dan bukannya sebelum proses itu.
“Mengapa tidak ditolak dari awal-awal lagi? Tidakkah tugas Peguam Negara ialah membawa balik Jho Low ke Malaysia untuk dibicarakan dan menjadi saksi penting kepada perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?” kata Hassan yang juga ahli Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mengenai Rasuah.
Semalam Apandi mengakui bertanggungjawab mengaturkan beberapa pertemuan mewakili Jho Low dengan wakil kerajaan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan bekas Peguam Negara itu menjadi wakil bagi penjenayah rasuah dikehendaki tersebut dalam mengatur penyelesaian bernilai RM1.5 bilion berhubung kes pendakwaan 1MDB yang dihadapinya.
Apandi dalam kenyataannya memberitahu dihubungi oleh firma Washington DC, Kobre & Kim pada akhir Mei lalu, yang meminta bantuannya untuk mengaturkan pertemuan dengan Peguam Negara.
Menurutnya, tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan pemulangan wang yang didakwa diselewengkan Jho Low daripada 1MDB.
“Saya aturkan beberapa pertemuan, di mana wakil dari Kobre & Kim datang ke Malaysia.
“Dalam pertemuan itu, yang dibuat di Jabatan Peguam Negara (AGC), kerajaan diwakili oleh peguam negara dan pegawainya, serta pegawai kanan SPRM.
“Selepas pertemuan itu, yang ketika itu nampak positif, ia tiba-tiba dibatalkan oleh AGC atas sebab yang hanya mereka tahu,” katanya dalam kenyataan itu.
Jho Low dikaitkan sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB dan telah didakwa tanpa kehadiran di mahkamah Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.
Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS sudah mendakwa Jho Low dengan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.
Di Malaysia, Jho Low dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion. Jho Low juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.