
Isnaraissah Munirah Majilis.
Ekoran tidak berpuas hati dengan usul berhubung tuntutan kerajaan Sulu kepada Sabah yang ditolak Dewan Rakyat, Isnaraissah Munirah Majilis bangkit dan mempertikaikan keputusan yang dibuat Speaker Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen (MP) Kota Belud dengan Azhar susulan keputusannya menolak usul tersebut daripada dibahaskan pada sidang hari ini dan mengakibatkan beliau diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung selama dua hari.
Isnaraissah sebelum ini mempersoal tindakan Speaker yang menolak usulnya sebanyak tiga kali.
“Saya nak tanya kerajaan, sampai tahap apa yang kamu membolehkan supaya bahas ini dibolehkan?
“Ini soal kedaulatan negara, bukan soal remeh temeh,pasal Sabah kah kamu tidak peduli? Sulu tuntut Sabah sahaja, bukan negeri-negeri lain,” katanya dalam Dewan Rakyat.
Perkara itu mendapat sokongan MP lain dengan meminta usul tersebut dipertimbang kembali supaya boleh dibahas di Dewan Rakyat.
MP Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub kemudiannya turut bangun dengan menjelaskan yang usul beliau turut ditolak dengan alasan subjudis.
Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudiaan mengeluarkan arahan supaya Munirah keluar dewan selepas menggantikan Azhar yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu.
Terdahulu, Azhar ketika mempengerusikan majlis telah membuat ketetapan dimana penjelasan secara terperinci telah diberi Menteri Ekonomi sebelum ini dan terdapat dua prosiding yang masih lagi berjalan, sekali gus tidak membenarkan ia dibahaskan.
“Aturan mesyuarat amat terang dan saya terpaksa memakainya. Saya tidak pernah masuk campur dengan hal abang saya buat dan saya tidak pernah cakap soal kerja dengan beliau, sekiranya apa yang berlaku dalam dewan saya selalunya akan mengecualikan diri daripada membuat keputusan,” jelas Azhar.
Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu hangat diperkatakan, terbaharu mereka berjaya membawa tuntutan tersebut ke peringkat antarabangsa.
Pada 28 Februari lalu, penimbang tara Sepanyol, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Pada 11 Julai lalu, peguam pihak Sulu dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).