
Data dipetik daripada laporan laman sesawang dapmalaysia.org/peruntukan/
Ahli Parlimen (MP) Hulu Langat Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu peruntukan disediakan Kerajaan Persekutuan kepada MP pembangkang.
MP Perikatan Nasional Arau, Datuk Seri Shahidan Kassin berkata beliau juga tidak perlu mendengar penjelasan Sany berhubung perkara itu, sebaliknya meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri memberi jawapan.
“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan dari YAB Perdana Menteri.
“Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu beliau mendakwa Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menghentikan peruntukan kepada MP pembangkang yang pernah diberikan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.
Sambil menyifatkan tindakan itu tidak adil kepada rakyat yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional, beliau bagaimanapun berkata MP pembangkang akan memastikan isu berkaitan peruntukan itu dapat diselesaikan.
Susulan itu, Sany mempersoalkan dakwaan yang dibuat Shahidan sambil mendakwa ianya adalah cubaan untuk ‘memancing’ dan menekan kerajaan PH-BN agar mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil kerajaan menerusi Belanjawan 2023.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata beliau difahamkan bahawa semua MP kerajaan telah menerima peruntukan itu.
“Saya telah mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen dari kerajaan telah mendapat peruntukan.
“Tetapi hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh Pembangkang terutamanya negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional seperti Perlis,Kedah,Terengganu dan Kelantan.
“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil.
“Bersesuaian dengan manifesto PH iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya.