
Mohd Azizi Abu Naim.
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini.
Azizi menjadi MP ketiga yang menyatakan sokongan kepada Anwar selepas Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang sebelum ini juga membuat tindakan sama dengan alasan hampir serupa.
Ujarnya, keputusan itu dibuat setelah meneliti dan mendengar Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat Malaysia.
“Keputusan saya ini adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk dilaksanakan di Parlimen saya dalam tempoh penggal perkhidmatan saya.
“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan media di Facebooknya.
“Sejujurnya saya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati parti Bersatu tetapi demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan Persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama di dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi marilah sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa memberkati bumi bertuah Gua Musang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimanan kita harapkan,” katanya.
Mohd Azizi menang kerusi Parlimen itu selepas menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li pada PRU-15.