MoU Transformasi dan Kestabilan Politik tiada kaitan dengan UMNO

Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak meneruskan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) tiada kena mengena langsung dengan kerajaan, sebaliknya ia adalah urusan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke malah menegaskan bahawa MoU berkenaan adalah persefahaman di antara PH dan Kerajaan Persekutuan, bukannya dengan pucuk kepimpinan UMNO.

“Keputusan MT UMNO untuk tidak meneruskan MoU dengan PH selepas 31 Julai 2022 adalah urusan di antara Ismail Sabri dengan partinya.

“Perlu ditegaskan bahawa MoU tersebut adalah persefahaman di antara PH dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan UMNO.

“Justeru, pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Tertinggi UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini, sebagai mengulas keputusan MT UMNO tidak mahu MoU itu disambung.

Susulan itu, Ismail Sabri yang hanya Naib Presiden UMNO akur dengan keputusan berkenaan.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Seremban itu berkata sebarang keputusan dan isu berkenaan MoU tersebut perlu dibincangkan secara rasmi di antara Perdana Menteri mewakili Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh pelbagai parti dengan pimpinan tertinggi PH.

“Terdapat juga percanggahan pendapat di kalangan parti-parti dalam blok kerajaan berkenaan garis masa MoU tersebut seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

“Bagi PH, isu yang paling penting ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MoU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan,” katanya.

Loke berkata DAP dan PH telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal Ogos akan datang.

BERITA BERKAIT
POPULAR