
Anthony Loke berterima kasih kapad Ahmad Maslan selepas menggesa ahlinya mengundi DAP pada PRN nanti.
Kedudukan Perdana Menteri (PM) tidak akan tergugat selagi terdapat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandantangani dengan pembangkang, kata Setiausaha Agung DAP baharu, Anthony Loke.
Loke menjelaskan berhubung MoU yang dimerterai tahun lalu bukanlah dalam satu bentuk sokongan sebaliknya ia hanya satu persefahaman, ia bermakna mereka akan berkecuali jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan usul undi tidak percaya.
“Ini mesti dijelaskan dari segi konsepnya. Kita bukan menyertai persefahaman ini dengan UMNO, tapi dengan kerajaan yang mana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah ketua kerajaan selaku PM.
“Ia bukan ditandatangani atas kapasiti selaku pemimpin UMNO, sebaliknya atas kapasiti PM.
“Konsep ini harus difahami bahawa persefahaman kita hari ini adalah dengan kerajaan, bukan dengan parti beliau,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri perlu melaksanakan semua syarat yang sudah dipersetujui dalam MoU tersebut jika mahu terus kekal sebagai PM.
“Apa yang termaktub dalam MoU itu dilaksanakan, ini termasuk Akta Anti Lompat Parti, agenda untuk mengehadkan jawatan PM, membawa semula Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, itu semua sedang dilaksanakan.
“Jika semua ini berlaku, bermakna MoU ini berkesan. MoU ini bukan sokongan, sebaliknya persefahaman. Maksud saya, mahu cakap kita sokong PM, tak betul. Kita bukan sokong, tapi ada persefahaman dengan beliau.
“Jadi ada obligasi kita, seperti yang kita kata akan berkecuali kalau ada undi percaya kepada beliau,” katanya lagi.
Bagaimanapun, senario berbeza mungkin berlaku sekiranya terdapat Ahli Parlimen UMNO sendiri yang menarik sokongan terhadap Ismail Sabri dan berkemungkinan pelbagai perkara lain boleh berlaku selepas ini.
“Jadi saya lontarkan dalam Parlimen. Saya kata kalau ada ahli UMNO yang rasa kalau ada keraguan terhadap PM, boleh bawa usul undi percaya. Usaha undi percaya itu, kita berkecuali.
“Jadi itu persefahaman kita. Maka kedudukan beliau sebagai PM tak tergugat, kecuali ada orang dalam kerajaan menarik sokongan terhadapnya termasuk dari parti beliau sendiri. Adakah mereka akan tarik sokongan? Itulah persoalannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Loke memberi komitmen blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) akan kekal memberi sokongan kepada kerajaan Ismail Sabri sehingga 31 Julai dan sebarang tindakan selepas itu adalah terpulang kepadanya untuk memutuskan.
“Jadi selagi mereka tak tarik balik sokongan, tak timbul soal kedudukan tergugat. Jika tak tergugat, tekanan itu adalah antara beliau dengan parti. Kita tak terlibat.
“Kita punya persefahaman, Parlimen tak sepatutnya dibubarkan sebelum 31 Julai. Tapi selepas itu, terpulanglah kepadanya, kecuali beliau kata jika ada persefahaman untuk lanjutkan,” katanya lagi.