MoU tak disambung tak bermakna akan cetuskan PRU-15: Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjangkakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bakal diadakan walaupun memorandum persefahaman (MoU) tidak disambung antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai nanti.

Ketua Pembangkang itu berkata tanpa MoU disambung ia tidak bermakna PRU-15 akan tercetus, malah menyatakan kesediaan PH untuk terus berunding bagi menyambung perjanjian tersebut sekiranya ingin diteruskan.

“MOU saya jelaskan, kita akan pastikan sehingga akhir Julai dan berunding kalau ingin diteruskan

“Belum pasti kalau dengan tidak adanya itu akan ada pilihan raya. Ini terpulang pendirian parti kerajaan dengan parti pembangkang, apakah keutamaan kita,” katanya dipetik dalam wawancara bersama beberapa media baru-baru ini yang dipetik daripada laporan Malaysiakini.

Untuk rekod, UMNO baru-baru semasa Mesyuarat Tertinggi parti itu sudah membuat pendirian tidak akan menyokong Perdana Menteri (PM) Ismail Sabri untuk menyambung MoU tersebut.

Langkah UMNO itu memberi isyarat untuk mendesak supaya pembubaran Parlimen disegerakan bagi memberi laluan PRU-15 diadakan dengan secepat mungkin, selari dengan mesej yang disampaikan semasa Perhimpunan Agung yang berlangsung pada Mac lalu.

Dalam pada itu, Anwar berkata MoU tersebut adalah perjanjian antara PH dengan Ismail Sabri dan bukannya dengan parti itu.

“Perundingan itu dengan Perdana Menteri dan pasukan dia.

“UMNO boleh bagi pendapat dia. Cuma UMNO dengan 40 kerusi BN itu, dia anggap dia sebagai (parti) pemerintah dia tentukan semua.

“Saya nak nasihatkan mereka bahawa dalam mana-mana kerajaan, kita perlu lihat kekuatan kita dan harus terima kenyataan bahawa rundingan itu antara PH dengan PM,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR