
Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi
Ahli Parlimen (MP) Lahad Datu Datuk Mohammadin Ketapi mengumumkan beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), menjadikan ahli Parlimen parti itu kepada empat orang.
Bekas Menteri Pelancongan itu berkata beliau berminat dengan sinergi PBM yang menggabungkan elemen Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia.
“Saya memilih mereka selepas meneliti perlembagaan parti yang bertujuan memperjuangkan hak Borneo di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Dengan perjuangan ini, kami dari Sabah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PBM dan Parti Kuasa Rakyat untuk merealisasikan matlamat itu,” katanya.
Tiga MP PBM yang lain ialah MP Julau Datuk Larry Sng; MP Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin; dan MP Tebrau Steven Choong.
Mohammadin memenangi kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 atas tiket Parti Warisan Sabah, tetapi keluar dari Warisan dan menyertai Bersatu pada Oktober tahun lepas untuk menyokong gabungan pemerintah.
Pada 28 Jun tahun ini, Mohammadin mengumumkan bahawa beliau sekali lagi keluar daripada Bersatu selepas tujuh bulan, menganggotainya.