Mohamaddin Ketapi pula keluar Warisan

Ahli Parlimen Lahat Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menjadi wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Warisan itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama turut mengumumkan menjadi ADUN Bebas mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tindakan Mohamaddin meninggalkan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu, menyusul langkah dibuat ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pada 8 Oktober lalu.

Warisan kini sudah kehilangan tiga wakil rakyat di DUN selepas seorang lagi ADUN parti itu bagi kerusi Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir lebih awal mengambil tindakan sama pada Februari lalu.

Pada satu sidang media hari ini, Mohamaddin berkata, langkah itu diambil setelah melihat tiada sebarang bentuk pembangunan dan kemajuan dapat disalurkan di kawasan diwakilinya sepanjang berada di kerusi pembangkang.

Warisan memenangi 23 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

“Di Dewan Rakyat, saya mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas sepenuhnya. Namun, sekiranya satu undi Bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan,” kata Mohammadin.

Memberi alasan keputusannya keluar parti demi usaha dan tumpuan untuk membawa pembangunan di DUN Segama dan Parlimen Lahad Datu kerana beliau sukar menjawab pertanyaan penyokong mengenai usaha membangunkan kawasan.

“DUN Segama menjadi penyumbang terbesar dari segi hasil ekonomi di Lahad Datu kerana mempunyai kawasan ladang kelapa sawit yang luas dan banyak kilang sawit tetapi tandas awam pun tiada di Segama.

“Jadi, kalau saya terus menjadi wakil rakyat pembangkang, selama empat tahun lagi sebelum pilihan raya negeri akan datang, saya tidak dapat bawa apa-apa kemajuan di Segama khususnya. Berikutan itu, hari ini saya isytiharkan keluar Warisan dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra kerajaan negeri Sabah,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR