
Nama jalan empeña pengasas DAP, Chen Man Hin.
Langkah kerajaan Negeri Sembilan menukar nama jalan di Bandar Seremban dengan nama Chen Man Hin dibidas Muafakat Nasional (MN) Sembilan.
MN Negeri Sembilan dalam satu kenyataan mempersoalkan langkah diambil kerajaan negeri yang menukar nama jalan dengan nama seorang pemimpin DAP, malah mempertikai apakah jasa pemimpin DAP tersebut kepada negara.
“MN Negeri Sembilan dengan ini menyatakan bantahan dan rasa kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Sembilan yang dikawal DAP untuk menamakan Jalan di Bandar Seremban dengan nama Chen Man Hin.
“Apa alasan dan apa jasa mendiang Chen Man Hin untuk dirakamkan namanya atas nama salah satu jalan utama di bandar Seremban. Pengasas DAP itu mungkin berjasa kepada DAP tetapi bukan masyarakat Negeri Sembilan,” kata Pengerusi penajanya, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.
Lebih mengecewakan, Badrul Hisham mendakwa kerajaan negeri cuba mengaburi penukaran jalan sempena pemimpin DAP itu dengan menamakan Jalan Sikamat dengan nama seorang bekas mufti yang sangat berjasa di rantau ini.
“Lebih malang lagi untuk mengaburi dan menghalalkan tindakan kerajaan yang dikawal DAP telah turut menyeret menukar nama Jalan Sikamat kepada nama Almarhum Sheikh Mohd Murtadza Ahmad. Seorang bekas mufti yang sangat berjasa di rantau ini.
“Tindakan ini seolah menyamakan taraf Almarhum Sheikh Mohd Murtadza dengan mendiang Chen Man Hin,” katanya lagi.
Untuk rekod, Badrul Hisham mendakwa jasa pemimpin DAP itu hanya berkisar sebagai pengasas bagi menampung penyokong PAP selepas kejayaan PAP membawa Singapura keluar dari Malaysia.
“Mendiang juga ialah disebalik Deklarasi Setapak 1967 yang menjadi teras DAP dimana tanpa selindung menjadi teras perjuangan Malaysian Malaysia dan perjuangan menghapus bumiputera dengan konsep sama rata mereka.
“Ia sangat bertentangan dengan semangat Malaysia hari ini maka timbul juga persoalan adakah ini cara senjata Malaysia Madani mengiktiraf usaha melenyapkan hak bumiputera,” soalnya lagi.
Badrul Hisham juga mendesak supaya kerajaan negeri agar mencari jalan untuk menyelesaikan isu kebajikan rakyat yang lebih mendesak daripada memikirkan perkara remeh-temeh seperti penukaran nama jalan tersebut.
“Tukar nama jalan ini hanya retorik politik, stunt politik yang tidak perlu buat masa ini. Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan patut bincang banyak perkara penting khususnya bagaimana mengurangkan tekanan hidup yang sangat mendesak rakyat.
“MN Mendesak kerajaan negeri yang dikawal DAP menarik balik keputusan menamakan nama jalan dengan tokoh yang tidak sepatutnya,” ujarnya lagi.