MN belum berkubur seperti didakwa, kata Hadi

Dakwaan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) sudah berkubur tidak benar, sebaliknya hubungan antara PAS dan UMNO masih baik seperti biasa, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu menegaskan kerjasama dalam MN tetap akan diperkukuhkan, sementara penyertaan dalam Perikatan Nasional (PN) tetap akan dipertahankan dan pada masa sama PAS masih mengadakan perbincangan antara kedua-dua parti tersebut.

“Setakat ini MN bukan sahaja belum berkubur, malah hubungan antara kepimpinan kedua-dua parti masih diteruskan,” katanya hari ini dipetik laporan BH.

Hadi terdahulu menghadiri majlis penutup Sambutan Ulangtahun PAS ke-70, turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas mengenai hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa dingin sejak berlakunya pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menafikannya sambil mengakui tiada keretakan hubungan berlaku.

“Kita sering berjumpa dan berbincang serta bertukar-tukar pendapat termasuk ketika di Parlimen.

“Hubungan kami masih erat walaupun ada yang mendakwa MN sudah berada di penghujung jalan,” katanya.

Hadi juga menegaskan, PAS akan terus mengamalkan pendekatan berdamai dengan semua parti Melayu dan Islam, melainkan dengan parti ekstrem.

Katanya, PAS tidak mempelawa Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk menyertai MN susulan pemimpin parti itu bersengkokol dengan DAP yang mengamalkan sikap ekstrem.

BERITA BERKAIT
POPULAR