
Parti MIC.
Parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC, hari ini membuat keputusan menolak jawatan timbalan menteri dalam kerajaan gabungan Pakatan Harapan dan UMNO sebagai menghormati keputusan pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung MIC R T Rajasekaran berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MIC hari ini (Rabu, 7 Disember 2022).
“MIC bersetuju untuk tidak menerima jawatan timbalan perdana menteri. Moga perdana menteri menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan sempurna dan adil untuk semua kaum di Malaysia,” katanya menurut FMT.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di laman Facebook beliau hari ini memaklumkan calon-calon bagi jawatan timbalan menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Beliau juga sekali lagi menegaskan MIC menyokong kerajaan yang diketuai Anwar seperti titah Yang di-Pertuan Agong.
Pada PRU-15 lalu, satu-satunya calon MIC yang menang ialah Timbalan Presiden M Saravanan iaitu di Parlimen Tapah.
Sebelum ini beliau adalah Menteri Sumber Manusia dalam Jemaah Menteri pentadbiran tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Naib Presiden MIC, C Sivaraj boleh diberikan peranan dalam kerajaan selepas menarik diri dalam pilihan raya Parlimen Padang Serai.
Terdapat laporan Sivaraj ditawarkan jawatan Senator sebagai balasan kerana menarik diri dalam pilihan raya itu. Ada spekulasi beliau ditawarkan jawatan timbalan menteri.