MIC tak ikut jejak UMNO, kekal sokong Muhyiddin : Vigneswaran

S Vigneswaran

UMNO menerima tamparan apabila rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN), MIC hari ini mengumumkan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden MIC, S Vigneswaran berkata mereka mengambil ketetapan untuk kekal bersama menyokong Muhyiddin dan bekerjasama dengan Bersatu sehingga menanti keputusan Majlis Tertinggi BN.

“Bagaimanapun, MIC pada masa sekarang akan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan berkerjasama dengan parti Bersatu hingga suatu perkembangan baru dalam keputusan majlis tertinggi BN.

“Biar kita tunggu dan lihat pergerakan politik untuk jangkamasa terdekat ini,” kata beliau semasa ucaptama Perhimpunan Agung Tahunan ke-74 parti itu pagi ini.

Muhyiddin turut mengikut perhimpunan itu melalui platform dalam talian Zoom, bagaimanapun Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri perhimpunan pagi tadi selepas namanya tiada dalam senarai jemputan.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong juga dilihat duduk di pentas utama bersama pemimpin MIC hari ini.

Difahamkan Zahid juga mungkin akan menyampaikan ucapan pada perhimpunan itu melalui persidangan dalam talian.

Vigneswaran juga menghargai keputusan kerajaan PN yang memperuntukkan jawatan menteri kepada MIC meskipun tidak dicalonkan oleh gabungan BN sendiri.

Katanya lagi, BN juga tidak mencalonkan pemimpin MIC untuk jawatan timbalan menteri atau Senator.

POPULAR