Mesyuarat MT: UMNO tumpu usaha rampas jawatan PM berbanding isu rakyat

Ketika rakyat berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan mahu kebajikan mereka terbela, UMNO nampaknya lebih berminat untuk membincangkan usaha merampas jawatan Perdana Menteri dan bermain politik demi kepentingan peribadi segelintir pemimpinnya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam tadi nampaknya lebih berkisar berhubung strategi menarik sokongan daripada kerajaan sedia ada, berbanding perbincangan untuk mencari jalan membantu rakyat yang terjejas.

Kononnya bersimpati dengan keperitan dan memahami denyut nadi rakyat, tetapi yang diumum semasa perutusan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada rakyat adalah parti menarik sokongan daripada kerajaan dan mahu Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur.

Sumber memberitahu, terdapat ahli-ahli MT yang bersetuju hanya PM digantikan, bagaimanapun barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedia ada ini dikekalkan, ia termasuk mereka yang berjawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Beberapa ahli MT bersetuju untuk menukar PM sahaja, Menteri dan Timbalan serta pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus kekalkan jawatan,” kata sumber parti yang bersama dalam mesyuarat secara online itu.

Menurut sumber, Zahid yang beria-ria mendesak supaya pendirian menarik sokongan terhadap PN diputuskan segera malam tadi juga dengan memberi alasan ia masa yang sesuai untuk UMNO kembali mendapatkan jawatan PM.

“Zahid mahu muktamadkan keputusan MT menarik sokongan malam tadi juga dengan berkata ia adalah peluang untuk UMNO mendapatkan jawatan PM semula… Beliau mahu UMNO yang diberi jawatan PM,” kata sumber lagi.

Bagaimanapun, Zahid tidak menjelaskan kepada ahli-ahli MT secara terperinci pihak yang UMNO akan bekerjasama dan hanya berkata UMNO akan dapat jawatan PM semula, dedah sumber lagi.

Jelas sumber, antara alasan lain yang diberikan untuk UMNO menarik sokongan segera adalah sekiranya program vaksinasi yang sedang berjalan ini berjaya, waktu itu ia sudah terlambat buat UMNO kerana orang ramai akan kembali menyokong kerajaan dipimpin Muhyiddin.

“Sekarang adalah masa yang sesuai, jika vaksinasi berjaya ketika itu sudah terlambat… rakyat sedang marah ketika ini dan ia adalah waktu yang sesuai untuk UMNO menarik sokongan kepada PN,” katanya lagi.

Namun, sepanjang perbincangan dalam mesyuarat MT semalam, sumber memberitahu kebanyakkan ahli-ahli MT yang banyak bercakap datang daripada kem pro Zahid dan rata-rata senada dengan cadangannya untuk membawa UMNO keluar daripada kerajaan PN.

“Banyak yang bercakap adalah orang Zahid, mereka ini adalah yang sentiasa menyokong apa sahaja cadangan Presiden dalam mesyuarat,” ujarnya lagi.

Apabila ditanya berhubung sama ada wujud cadangan ke arah usaha ke arah membela nasib rakyat, sumber memberitahu ahli MT lebih banyak membincangkan isu berhubung kait kuasa dan cara yang terbaik untuk mendesak Muhyiddin agar berundur.

“Mereka banyak bercakap sekiranya langkah ini dibuat, apakah kesan kepada UMNO… mereka cuba mencari jalan supaya keputusan dibuat UMNO tersebut tidak dilihat bersifat kepentingan peribadi, ia memandangkan diketahui umum pemimpin yang menentang kerajaan ketika ini adalah kumpulan Kluster Mahkamah,” kata sumber.

Malam tadi, MT UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan mendesak supaya Muhyiddin berundur, ia walaupun selepas Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri baharu dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) semalam.

Zahid memberi alasan kerajaan gagal memenuhi tujuh syarat yang digariskan UMNO, justeru MT UMNO sebulat suara menarik balik sokongan serta-merta terhadap pentadbiran Muhyiddin.

Terdahulu, Zahid mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO yang berlangsung hampir lima jam bermula 8.30 malam tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR