Menteri tak letak jawatan satu tamparan buat Zahid: Rais

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Tan Sri Dr. Rais Yatim menyifatkan pendirian Menteri dan Timbalan Menteri UMNO untuk kekal berada dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi satu tamparan kepada Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata keadaan tersebut memperlihatkan kelemahan Zahid dan menunjukkan wujud penolakkan dalaman UMNO terhadap pemimpin nombor satu parti Melayu itu.

“Adakah mereka bersama Presiden sedangkan mereka tidak meletak jawatan. Tidak letak jawatan itu memang pedih juga dan diibaratkan umpama menarik nafas daripada hidung,” beliau dipetik berkata.

Menurut Rais, orang Melayu tidak boleh berpecah lagi dan perlu bersatu padu kerana hanya dengan kesatuan tersebut pemerintahan negara dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Pendirian yang begitu tegas ini mungkin mencernakan pandangan bahawa orang Melayu dan Islam mesti bersatu supaya kuasa di negara ini tidak lepas kepada pihak lain.

“Pada hemat saya, menjadi tanggungjawab kepada Presiden (UMNO) menyatukan orang Melayu. Jika Bersatu dan Pas boleh merasakannya, kenapa tidak UMNO?” ujarnya lagi.

Walaupun Zahid berapi-api dan mencabar semua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO meletak jawatan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 hujung minggu lalu namun ia tidak disambut oleh mereka yang dikatakan kumpulan “Kluster Menteri”.

Sebaliknya, kesemua Menteri UMNO berpendirian untuk terus kekal berada di dalam Kabinet atas kesepakatan dan setelah menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

POPULAR