
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, dikenakan kompaun kerana melanggar SOP Covid-19.
Kerajaan digesa melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan membenarkan kempen bersemuka, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP itu menyindir kerajaan perlu memberi kelonggaran berkempen memandangkan seorang Menteri UMNO semalam melanggar SOP sehingga dikompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mempertahankan Menteri kabinetnya itu hari ini.
“Hari ini, semua yang hadir (program pelancaran jentera Pakatan Harapan) ikut SOP Covid-19, kita lihat ada penjarakan seperti mana ditetapkan, tapi ada pihak yang tak ikut, mereka boleh buat (langgar) sewenang-wenangnya dan hanya kena denda RM1,000 sahaja.
“Kalau boleh langgar (SOP) sesuka hati, mengapa tak boleh ceramah dalam PRN Johor, mesti adil kepada semua dan jangan ambil kesempatan guna COVID-19 untuk halang pembangkang bersemuka dengan rakyat,” katanya hari ini.
Guan Eng terdahulu menghadiri pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) dan parti MUDA, di Johor Bahru.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dikompaun kerana pelanggaran SOP dalam program yang dihadiri mereka
Video tular turut menunjukkan pemimpin meredah kerumunan hadirin pada majlis pelancaran briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor.
Antara pemimpin yang dilaporkan hadir pada majlis itu selain Hishammuddin, penyandang jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, sekiranya penularan Covid-19 serius, maka kerajaan perlu menangguhkan PRN Johor buat masa ini bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
“SOP serius apabila Covid-19 serius, (tetapi) SOP tidak (diambil) serius, bermakna Covid-19 (juga) tidak serius.
“Harap longgarkan (SOP PRN) kerana kalau benar-benar serius, lebih baik tangguhkan dahulu PRN Johor, jangan main-main dalam perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tiga pemimpin BN yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP menimbulkan persoalan mengenai keseriusan kerajaan melawan pandemik Covid-19.