Mengapa Zahid takut bertemu Ahli Parlimen BN? Ini jawapannya

Ramai tertanya-tanya mengapa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi takut bertemu dengan Ahli-ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) yang mahu meminta penjelasan berhubung hala tuju dan ke arah mana yang mahu dibawanya selepas keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Permintaan tersebut nampak mudah dan tidak lah rumit, bagaimanapun Zahid beberapa kali menipu MP BN yang mahu berjumpa dengan beliau, terbaharu pada Selasa lalu selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO ia sepatutnya berlangsung pertemuan tersebut.

Ia bagaimanapun, sejurus selepas pengumuman keputusan Mesyuarat MT menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zahid tidak menghadiri pertemuan yang sepatutnya berlangsung di Hotel Seri Pacific, bersebelahan ibu pejabat parti.

Kira-kira 10 MP BN menanti beliau di hotel tersebut, malangnya Zahid sekali lagi memungkiri perjanjian tersebut dan ramai dikalangan MP yang berang kerana ditipu sekali lagi oleh Zahid, antaranya MP Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz dan MP Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang menanti di hotel tersebut.

Pelbagai persoalan timbul mengapa Zahid tidak muncul-muncul untuk memberi penjelasan kepada semua MP BN yang sedang menunggunya, pastinya Zahid cuba mengelak daripada menjawab soalan-soalan panas yang akan dihadapinya.

Berbanding Mesyuarat MT yang kebanyakkan merupakan penyokong kuatnya, MP BN terdiri daripada warlord UMNO yang lama, pemimpin senior yang setara dengan Zahid dan tidak mudah diperbodohkan dengan retorik politik yang dijanjikan oleh beliau.

Zahid mungkin boleh menguasai ahli-ahli MT untuk membuat keputusan mengikut kehendaknya tetapi beliau belum tentu mampu untuk mempengaruhi MP BN yang lebih rasional dan matang dalam membuat keputusan tidak terikut-ikut dengan rentak permainan politik sempit Presiden UMNO itu.

Agenda Daily ada bertemu dengan beberapa MP BN yang tidak sehaluan dengan hala tuju Zahid dan mereka mendedahkan beberapa persoalan yang meragukan dan tidak dijawab oleh Zahid yang perlu ditanya.

Jadi, apakah persoalan tersebut? Seorang MP BN memberitahu kami, persoalan utama yang tidak dijawab Zahid sehingga hari ini ke mana hala tuju parti yang ingin dibawanya kerana mereka rasa sangsi dengan perancangan yang sedang direncanakan beliau.

Disini lah kesilapan Zahid apabila beliau tidak berterus terang dengan semua MP BN, jika mahu meneruskan rancangan untuk bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membentuk blok baharu kerajaan, ia perlu diterangkan dan dijelaskan kepada mereka.

Namun, perkara tersebut tidak berlaku dan beliau cuma memberikan retorik politik dan hujah yang mengelirukan sehingga menyebabkan MP BN hilang keyakinan terhadap cara beliau menguruskan isu berhubung penarikan sokongan terhadap kerajaan PN dan juga Perdana Menteri.

Ya, Zahid dan rakannya, Datuk Seri Najib Razak ada membuat pengakuan kepada MP BN sebelum ini semasa pertemuan di Wisma Perwira berhubung surat yang dihantar ke Istana Negara pada tahun lepas dan juga pengakuan berhubung klip audio tersebut tetapi ia hanya separuh cerita sebenar yang didedahkan kepada MP BN.

Sekarang, MP BN meminta penjelasan lebih lanjut berhubung langkah seterusnya dan mereka tidak mahu lagi dibiarkan dalam kegelapan seolah-olah bodoh tidak tahu perancangan sebenar Zahid dan Najib.

Jika mahu meneruskan kerjasama dengan Anwar dan DAP, MP BN sememangnya tidak akan bersetuju dan oleh sebab itu mereka menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan serangan, kemudiaan tiba Sidang Khas Parlimen dan kesilapan teknikal yang dibuat oleh pihak kerajaan digunakan sepenuhnya oleh Zahid dan Najib.

Isu derhaka dimainkan dengan hebat kononnya kerajaan PN menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, Zahid dan Najib mengikut naratif yang dibawa blok pembangkang dan menjadikannya sebagai modal untuk menyerang pentadbiran Muhyiddin yang didakwanya tidak menghormati titah.

Belum pernah dalam sejarah MP yang berada di blok kerajaan senada dan seirama dengan pembangkang, hanya Zahid dan Najib sahaja yang berani melakukannya. Ini lah kali pertama dalam sejarah negara apabila dua orang tertinggi dalam UMNO menjadi tok dalang yang bersekongkol dengan Anwar untuk menjatuhkan kerajaan yang ditubuhkan bersama.

Permintaan yang mudah MP BN meminta penjelasan tidak ditunaikan Zahid dan kini UMNO semakin dilihat berpecah hanya kerana semata-mata kepentingan peribadi Presiden bersama beberapa lagi rakan-rakannya yang berdepan kes mahkamah.

Apakah sebenarnya MP BN mahu dapatkan penjelasan daripada Zahid dan Najib?

Tiga perkara yang perlu dijawab oleh mereka berdua, pertama selepas kerajaan jatuh dengan siapakah UMNO akan bekerjasama, kedua sejauh manakah keyakinan Zahid dan Najib kerajaan baharu yang ditubuhkan itu dapat menjaga kepentingan UMNO dan ketiga siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri baharu selepas tertubuhnya kerajaan baharu.

Selagi tidak dijawab persoalan ini, MP BN akan tetap tidak akan mengikut Zahid dan mereka akan meneruskan serangan sehingga Zahid dan Najib ditendang daripada parti.

Apabila ditendang, Zahid dan Najib bebas untuk bersama dengan parti baharu yang ingin mereka sertai tetapi untuk mengheret UMNO bersama-sama dalam agenda peribadi mereka, MP BN sama sekali tidak akan mudah diperbodohkan dan akan mempertahankan UMNO daripada menjadi syarikat sendirian berhad yang berjuang untuk kepentingan diri sendiri.

UMNO adalah parti orang Melayu dan teras kepada perjuangan kaum Melayu yang perlu dipertahankan daripada bersekongkol dengan bekas banduan dan komunis DAP.

BERITA BERKAIT
POPULAR