
Ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Jho Low.
Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa UMNO dan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendesak supaya kerajaan menggiatkan usaha untuk menangkap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Pengerusi DAP itu mengkritik UMNO dan Zahid kerana sepatutnya mereka mendesak kerajaan mengesan Jho Low yang terlibat dalam skandal mencuri duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi sebaliknya mereka mendesak supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan pula.
“Ahli perniagaan Jho Low yang kini dalam buruan berhubung kes penyelewengan dana 1MDB, didakwa dilihat pada gambar yang dikatakan dirakam di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019.
“Setakat ini tiada kemajuan daripada usaha polis untuk mengesan Jho Low. Mengapa UMNO dan Ahmad Zahid Hamidi tidak berminat mendesak kerajaan menggandakan usaha menangkap Jho Low?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil langkah segera untuk membawa Jho Low ke muka pengadilan memandangkan rakannya, Najib sudah pun dihukum penjara atas kesalahan jenayah dilakukannya.
Perdana Menteri Ismail Sabri tidak boleh lupa bahawa kedua-dua bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Jho Low adalah individu utama yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah.
“Memandangkan Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, Jho Low juga mesti dihukum penjara kerana peranannya membantu Najib merompak negara dalam skandal RM52 bilion 1MDB.
“Memandangkan polis tidak membuat banyak kemajuan, mungkin mereka boleh meminta bantuan Tom Wright dan Bradley Hope untuk memberikan maklumat mengenai Jho Low?” ujarnya lagi.
Terdahulu media melaporkan kedua-dua penulis buku ‘Billion Dollar Whale’ dan wartawan Wall Street Journal yang memenangi anugerah mendedahkan mempunyai maklumat keberadaan ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Jho Low.
Dalam catatan Twitter, Wright berkongsi bahawa Jho Low didakwa telah dikesan mengadakan jamuan di Shanghai Disneyland pada 2019, dan mendakwa bahawa maklumat itu datang daripada “sumber kerajaan Malaysia”.
Sambil mengucapkan “Selamat Hari Merdeka” kepada rakyat Malaysia, Wright berkongsi bahawa maklumat tambahan akan didedahkan di halaman YouTube mereka minggu depan.
Menurutnya ia adalah berkaitan individu yang membenarkan Jho Low mengakses sistem perbankan global.
“Bradley dan saya mendedahkan bukti pertama keberadaan Jho Low di saluran YouTube kami. Banyak lagi yang akan datang! Kami akan menambah video setiap minggu dan saya akan menyiarkan foto Jho Low di sini kemudian.
“Kami telah mengikuti kisah ini selama bertahun-tahun. Ini adalah bahagian terakhir teka-teki. Minggu depan, di saluran YouTube kami, kami akan mendedahkan orang yang membenarkan Jho Low mengakses sistem perbankan global.
Pada 2020 lalu, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia mengesyaki Jho Low bersembunyi di Macau, di tengah-tengah usaha membawanya pulang bagi menghadapi keadilan atas peranannya dalam kes 1MDB.
“Petunjuk kukuh bahawa dia berada di sana (Macau) – noktah,” kata Abdul Hamid kepada Bloomberg.