Mengapa Anwar enggan berunding, masih dengar nasihat anak murid?

Daripada isu lambang sehingga rundingan kerjasama, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal dan tidak mempunyai ketokohan yang dapat menarik semua parti pembangkang untuk duduk dibawah satu khemah.

Berbeza ketika gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dimana sebarang ketetapan diputuskan secara konsensus, Anwar dilihat gagal meletak dirinya setaraf dengan mantan Perdana Menteri dua kali tersebut.

Dalam isu pemilihan lambang, Anwar gagal menghormati keputusan konsensus PH selepas DAP dan Parti Amanah bertegas dengan pendirian menggunakan logo rasmi, ia sekaligus menunjukkan betapa keras kepalanya Ketua Pembangkang itu.

Malah, cadangan dan gesaan pemimpin akar umbi PH di Johor yang mencadangkan supaya pintu rundingan kerjasama dengan parti-parti lain di buka juga tidak diendahkan oleh Anwar.

PKR seakan-akan hidup dalam mimpi dan Anwar pula dilihat sedang melukis angan-angan Mat Jenin untuk menang besar di Johor.

Faktanya, pencapaian PKR di Johor sebelum ini tidak pernah sama yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), malah ketika kempen pilihan raya lalu Anwar hanya pemerhati luar yang masih meringkuk dalam penjara.

Anwar hanya memerhati dari dalam tirai besi, jadi tidak perlu untuk dirinya angkuh dan bongkak seakan mengetahui selok-belok dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Cukuplah dengan kekalahan memalukan dalam dua PRN sebelum ini, adakah Anwar masih tidak serik dan melihat kebodohan dirinya sekali lagi berulang.

Seorang penganalisis politik, Prof. Dr. Rusdi Omar berkata gabungan PH ketika ini sangat goyah, ia ditambah tidak ada persefahaman yang kukuh seperti PRU-14 lalu.

“Kalau dilihat persefahaman dalam PH, seperti ada masalah. PKR menggunakan logo sendiri manakala DAP dan Amanah pula menggunakan logo PH. Dari sudut itu, sedikit sebanyak mengurangkan keyakinan penyokong.

“Saya lihat, seperti PRN Melaka, PH bakal sekali lagi berdepan kesukaran di Johor dan mungkin hanya mempunyai kelebihan di kerusi-kerusi campuran yang majoriti pengundi Cina. Nak ulangi kejayaan PRU-14, tampak cukup sukar,” katanya dipetik laporan media.

Ulasan tersebut berkisar baharu kepada lambang, ia belum mengambilkira jumlah kerusi yang dibolot oleh PKR dan mahu ditandingi mereka.

Sebanyak 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi milik PKR untuk meletak calonnya daripada 56 jumlah kerusi keseluruhan.

Keputusan itu dibuat tergesa-gesa, malah cadangan parti-parti lain supaya rundingan dibuat terlebih dahulu diabaikan kerana kebongkakan dan keangkuhan Ketua Pembangkang tersebut.

Disebabkan keangkuhan tersebut juga, PH kalah teruk dalam PRN Melaka dan Sarawak tempoh hari, perkara sama kini berulang pada PRN Johor.

Bukannya Anwar atau parti dalam gabungan PH tidak sedar sekiranya berlaku pertembungan banyak penjuru, kelebihan akan menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkemungkinan akan membolot kemenangan besar seperti di Melaka.

Walaupun situasi PRN Johor tidak sama di Melaka kerana pertambahan pengundi muda yang didaftarkan secara automatik, sejauh mana keyakinan PKR kumpulan pengundi baharu tersebut akan memilih mereka.

Formula pertembungan banyak penjuru masih akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, atau sebenarnya adakah Anwar mahu memberikan kemenangan mudah kepada parti yang diketuai anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?

Persoalan timbul selepas beberapa keputusan Anwar yang dilihat diputuskan secara kelam-kabut atau tergesa-gesa, apakah sebenarnya Presiden PKR itu masih mendengar nasihat Presiden UMNO seperti yang berlaku sebelum ini?

Anwar atau PKR juga sehingga hari ini tidak menjawab pendedahan Agenda Daily berhubung pertemuan dua pemimpin kanan parti itu yang dihantar bertemu Zahid selepas PRN Melaka lalu.

Atau adakah sekali lagi Anwar juga menghantar delegasi sama bertemu Zahid bagi membincangkan strategi PRN Johor bersama?

BERITA BERKAIT
POPULAR