Memang SOP kempen ketat tapi nyawa rakyat lebih penting, kata calon PN

Tidak dinafikan prosedur operasi standard (SOP) kepada calon yang berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terlalu ketat tetapi nyawa rakyat lebih penting, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu mengakui sekatan yang tidak membenarkan aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal menyukarkan untuk calon menyantuni rakyat tetapi sekatan berkenaan bertujuan menjaga nyawa rakyat dan ahli politik harus mematuhinya.

“Saya berkempen sudah dua hari (dan) memang rasa ketat…tak boleh ceramah, memang rasa tersekat. Bagus juga guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat.

“Kalau kita kempen rumah ke rumah, kita kena ingat ada (pengundi yang ada) anak kecil, orang tua… anak kecil ini tak vaksin… (dan) kita tak nak ia (penularan Covid-19) berlaku,” katanya lapor Bernama semasa wawancara bersama Bicara Harakah dalam talian.

Beliau yang menyifatkan gelanggang perang pada PRN itu sebagai adil kepada semua pihak juga mahu semua pihak menggunakan teknologi sebagai alat untuk mendidik dan mematangkan rakyat dan bukan menimbulkan suasana tidak harmoni.

“Saya berpegang kepada satu iaitu apabila anda memberikan maklumat yang betul, orang akan memberi anda keputusan yang betul. Bermain di media sosial hari ini, adalah adil tapi yang lebih penting jadikan medium ini sebagai alat mendidik dan matangkan rakyat,” katanya.

Calon PN DUN Serkam Ahmad Bilal Rahudin dalam sidang media bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula berkata meskipun DUN yang ditandinginya terletak di kawasan luar bandar, kempen mempromosikan diri dan perjuangan menerusi media sosial tidak menjejaskannya.

“Pengundi telah mengamalkan norma baharu sudah dua tahun dan saya rasa tidak ada masalah (untuk pengundi) tonton penjelasan dalam talian. Ia juga tidak menjadi masalah bagi saya berkempen dalam talian dan bagi PN, kita ada akar umbi yang cukup yang boleh bagi penerangan di lokaliti. Perkara ini perlu dititikberatkan untuk kesihatan awam,” katanya.

SPR pada 8 Nov lepas melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

SPR menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.

BERITA BERKAIT
POPULAR