Memalukan veteran ATM berhimpun sokong penjenayah: Patriot

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), sebuah gerakan dianggotai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilapor mengecam perbuatan beberapa veteran komando yang memakai beret hijau, kelihatan menyambut Datuk Seri Najib Razak ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Simpang Renggam, Ahad lalu.

Memetik laporan Malaysiakini, Presiden Patriot Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata:

“Tidak ada yang lebih memalukan dan dan mematahkan semangat, (daripada) untuk melihat komando veteran dari pasukan khas elit negara berhimpun bersama seorang penjenayah yang telah didapati bersalah dan dilabelkan sebagai ‘memalukan negara’ oleh pelbagai laporan media (dalam dan luar negara).”

Arshad dipetik berkata sebagai veteran pasukan keselamatan negara elit yang terlatih dan berdisiplin tinggi untuk mempertahankan negara, veteran komando sepatutnya mesti memegang teguh kepada prinsip tersebut.

“Patriot tidak mempunyai isu jika kumpulan veteran menyertai kempen politik kerana kita adalah negara demokrasi.

“Malah, walaupun kita mungkin pesara tentera atau bekas tentera, kita boleh dan mesti memainkan peranan yang membina sebagai rakyat yang bertanggungjawab dalam membentuk masa depan politik negara yang lebih baik dan kestabilannya.

“Tetapi untuk dilihat berpakaian yang boleh dikaitkan dengan Angkatan Tentera di litar kempen politik sebegitu – dan lebih-lebih lagi apabila bersama individu yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah bukan sahaja tidak wajar dan tidak menyenangkan tetapi secara kritikal melanggar jawatan dan status terhormat Angkatan Tentera,” katanya.

Pada 28 Julai 2020 lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib yang juga bekas Perdana Menteri bersalah dalam kes SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Sementara, Mahkamah Rayuan pada 7 Disember 2021 pula mengekalkan keputusan mahkamah tinggi itu.

Menolak dakwaan Najib bahawa dia telah bertindak atas ‘kepentingan negara’, sebaliknya Mahkamah Rayuan mengatakan tindakan itu ‘sesuatu yang memalukan negara’.

Najib juga kini berdepan banyak lagi pertuduhan jenayah di mahkamah, termasuk dalam kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

BERITA BERKAIT
POPULAR