MCA diberi kerusi banyak kerana BN yakin mampu tarik pengundi Cina

Barisan Nasional (BN) yakin mampu menarik semula undian pengundi daripada kaum Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus dapat mencapai sasaran membentuk kerajaan yang lebih stabil sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata berdasarkan pengamatan dan pengalamannya sebagai Ahli Parlimen Pontian, kebanyakan pengundi daripada golongan itu menyatakan keinginan untuk kembali menyokong parti gabungan itu, menurut laporan Bernama.

“Saya lihat dan alami sendiri bahawa masyarakat Cina ingin kembali kepada BN. Di Johor ini, masyarakat Cina terdiri daripada 37 peratus pengundi.

“Apabila kumpulan pengundi ini sudah merasakan tidak mempercayai Pakatan Harapan (PH) terutamanya, maka mereka menyatakan ingin kembali ke BN dan ini adalah petanda yang menunjukkan bahawa pada PRN Johor ini, BN mempunyai peluang yang cerah,” katanya kepada Bernama.

Menjelas lanjut, Ahmad berkata kebanyakan masyarakat Cina meluahkan kekecewaan terhadap pentadbiran PH, kerana gagal menunaikan janji untuk membangunkan kawasan-kawasan DUN yang dimenangi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengenai calon BN pada PRN Johor, beliau berkata meskipun BN menampilkan lebih 70 peratus muka baharu, namun setiap calon mempunyai pengalaman dalam arena politik.

“Daripada senarai calon itu, saya rasa gembira kerana pilihan kita itu hampir menyerupai semasa PRN Melaka dan apabila ada persamaan sebegini, kemungkinan kemenangan di Melaka boleh berlaku di Johor. Itulah harapan kita kerana apa kita lakukan di Melaka itu, kita berani dan kita ulanginya di Johor,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ada lebih 70 peratus muka baharu sebagai calon pada PRN Johor dan lebih 80 peratus daripada calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu juga, terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan akademik tinggi.

Zahid turut berkata lebih 80 peratus calon terdiri daripada mereka yang berusia 55 tahun ke bawah dengan melihat beberapa kriteria menggunakan konsep boleh menang, boleh diterima dan disukai.

BN mempertaruhkan 37 calon daripada UMNO, MCA (15) dan MIC (empat) pada PRN Johor dengan proses penamaan calon pilihan raya itu berlangsung esok, manakala hari pengundian pada 12 Mac sementara undi awal pada 8 Mac.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 tidak ditangguhkan dan berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada 16 hingga 19 Mac depan.

Beliau berkata perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini.

Sebelum ini, UMNO menetapkan perhimpunan berkenaan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Jan lepas namun ditangguhkan kepada 16 hingga 19 Mac depan susulan banjir yang melanda beberapa negeri awal tahun ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR