
MCA tidak akan menjadi “opportunist” politik atau mengikut “expediency” atau peluang politik semata-mata untuk berkuasa.
Tidak seperti ‘abang besarnya’ UMNO, parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA, tetap tidak mudah untuk bekerjasama dengan DAP dan menjual prinsip perjuangannya.
Malah, Naib Presiden MCA Ti Lian Ker berkata parti itu tidak akan menjadi “opportunist” politik atau mengikut “expediency” atau peluang politik semata-mata untuk berkuasa.
“Segala tindakan kami selama ini adalah berlandaskan prinsip-prinsip politik kesederhanaan dan menghormati perlembagaan, institusi dan tradisi.
“MCA tidak akan bertindak semata-mata untuk berkuasa atau memberi janji kosong maupun menjatuhkan lawan melalui fitnah atas provokasi dan justifikasi politik untuk mencari kesempatan berkuasa.
“Kami tidak akan bertindak mengikut peluang atau kesempatan politik dengan menjatuhkan parti lawan melalui pembohongan, tohmahan atau fitnah dan kemudiannya memohon maaf untuk berkawan semata-mata demi untuk berkuasa,” katanya menurut laporan Mkini, hari ini (8 Januari 2023).
Beliau menjawab laporan beberapa hari lalu yang memetik nasihat seorang ahli akademik kepada MCA supaya menyebelahi DAP agar parti itu berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memenangi kerusi pada pilihan raya negeri akan datang di Pulau Pinang dan Selangor.
Bekas timbalan menteri itu menegaskan bahawa MCA adalah sebuah organisasi besar yang mempunyai sejarah panjang dan semangat terbuka.
“Seperti mana parti- parti politik , kita akan mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan politik mengikut edaran masa dan menghormati pasaran politik semasa,” katanya lagi.
Walaupun MCA ketika ini hanya mempunyai dua ahli Parlimen,Ti memberi jaminan parti itu akan terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan sedia ada demi kestabilan politik.
Ti juga menegaskan partinya boleh mengambil iktibar daripada pihak lain seperti PKR yang sebelum ini hanya berjaya memenangi satu kerusi pada pilihan raya umum 2004.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menerajui kerajaan sebagai perdana menteri.
MCA juga boleh mengambil iktibar pengalaman parti seperti PRSM atau PSM yang telah lama wujud dan memperjuangkan perjuangan partinya walaupun tidak memenangi kerusi untuk tempoh yang lama, kata Ti.