
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mempertimbangkan untuk mencalonkan muka baharu sebagai menteri besar Selangor yang lebih layak daripada penyandangnya, Datuk Seri Amirudin Shari.
Setiausaha Penaja Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail berkata Amirudin gagal menjalankan tugasnya dengan baik di negeri itu termasuk untuk menyelesaikan beberapa isu kontroversi.
Beliau juga mendakwa kerajaan perpaduan di Selangor mungkin tumbang sekiranya Amirudin sekali lagi dicalonkan untuk jawatan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Perdana menteri perlu memilih calon yang lain yang lebih layak, lebih arif dan berwibawa untuk menjadi menteri besar sekiranya PH (Pakatan Harapan) dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah Selangor dalam PRN akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengambil contoh kegagalan Amirudin termasuk mendalamkan sungai yang dikenali sebagai Selangor Maritime Gateway dan pembangunan kompleks sukan Shah Alam.
Beliau juga percaya Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan isu-isu tersebut habis-habisan untuk menumbangkan kerajaan perpaduan di Selangor.
Abdul Razak turut mencadangkan agar DUN Sungai Tua diberikan kepada muka baharu memandangkan kawasan itu disandang Amirudin sejak tahun 2008.
“Biarlah beliau kekal dan memainkan peranannya sebagai Ahli Parlimen Gombak yang dimenanginya pada PRU-15 yang lalu,” katanya.
Khamis lalu Amirudin menyatakan hasratnya untuk mempertahankan kedudukannya sebagai menteri besar di Selangor yang dipegangnya sejak Jun 2018.
Beliau juga dilaporkan mahu mempertahkan DUN Sungai Tua pada PRN nanti.